Apa kesudahan dengan Namewee? Dia selalu membangkitkan kemarahan umat Islam melalui video yang menyentuh sensitiviti agama.

SIAPA Namewee? Apa istimewanya dia dan apa yang membuatkan dia begitu ‘kebal’ sehingga sesenang hati menghina sesiapa sahaja yang dia mahu tanpa rasa takut, perit dan serik?

Penama Wee Meng Chee ini telah mengguris rakyat Malaysia sejak sekian lama tetapi malangnya dia tetap bebas dari sebarang pertuduhan dan dakwaan walaupun banyak laporan polis dibuat orang ramai termasuk badan bukan kerajaan (NGO).

Nama Meng Chee mula kontroversi pada tahun 2007 apabila dia mengejutkan seluruh rakyat Malaysia dengan mencipta dan menyanyi lagu “Negarakuku”.

Lagu ini disampaikan dalam genre rap dan disiarkan melalui laman Youtube.

Seni kata lagu Negarakuku ini jelas sekali menghina negara, polis, orang Melayu dan umat Islam tetapi dia terlepas begitu sahaja.

Tidak ada pertuduhan, tidak ada dakwaan, tidak ada perbicaraan, tidak ada hukuman dikenakan. Dia hanya selesaikan kemarahan rakyat dan kerajaan dengan hanya ‘meminta maaf’.

Dia tidak berhenti di situ. Dia buat hal lagi. Dia ulangi lagi kemarahan rakyat. Baginya, tidak ada istilah perit atau takut dalam dirinya kerana usaha pertama beliau menghina kerajaan dan penjawat awam, berjaya dilakukan tanpa berlaku sebarang kejadian tangkapan atau dakwaan atau rusuhan.

Dia suka ambil kesempatan atas sikap baik hati kerajaan dan umat Islam.

Baginya, kerajaan Malaysia boleh dikutuk, dihina, dikecam dan dicaci semahu-mahunya. Kalau kerajaan marah, dia hanya buat permohonan maaf dan bodek sikit-sikit, kerajaan boleh terima dan lupakan perbuatan jijiknya itu.

Contohnya, dia berjaya melembutkan hati seorang menteri ketika dia dalam kontroversi. Ketika orang Melayu dan umat Islam tengah marah dan benci kepadanya.

Baginya, apa peduli dengan kemarahan orang Melayu dan Islam, asalkan dia dapat menawan hati seorang menteri.

Dia sengaja mencetuskan kecemburuan rakyat Malaysia apabila memohon sejumlah dana dengan sokongan menteri berkenaan untuk membiayai filemnya berjudul “Nasi Lemak 2.0”.

Ketika rakyat marah dan benci, menteri itu mengumumkan kelulusan sejumlah dana kepada Namewee.

Filem “Nasi Lemak 2.0” tidak ke mana. Gagal mendapat sambutan tetapi, Namewee gembira kerana filem itu dibikin tanpa menggunakan wang poket sendiri. Dia berjaya menundukkan menteri berkenaan untuk mendapatkan modal tanpa perlu bekerja keras.

Kerajaan sudah berbuat baik kepadanya dengan harapan dia tidak lagi membuat hal yang boleh menyakitkan hati orang Islam tetapi, berbuat baik dengan manusia bernama Namewee sama seperti melepaskan anjing tersepit.

Dia gigit tangan orang yang menolongnya!

Begitulah mainan Namewee. Kerajaan buat baik sekali pun dan dilayan dengan istimewa sekalipun, ia tetap membalasnya dengan tahi.

Pada Ogos 2010, dia menghasilkan satu lagi video. Kali ini berjudul “Nah”. Video ini memaparkan kisah pembantu wakil rakyat DAP, Teoh Beng Hock yang ditemui mati selepas disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes rasuah.

Tanpa menghormati perundangan – kerana kes Beng Hock masih dalam perbicaraan di mahkamah ketika itu – Namewee menularkan video itu untuk tontotan umum dengan motif dan niat mencemarkan nama baik kerajaan Malaysia serta pihak berkuasa.

Namun, tindakan yang diambil ke atasnya hanya sekadar dipanggil untuk mengambil keterangan. Lepas itu dia dibebaskan. Rakyat menyangkakan sekurang-kurangnya ada pendakwaan, pembicaraan dan kemudian dijatuhkan hukuman, tetapi tidak menjadi kenyataan.

Empat bulan selepas itu, pada November 2010, Namewee muncul lagi dan menjadi sebutan ramai. Dia diangkat wira oleh masyarakat Cina, tetapi musuh ketat orang Melayu dan umat Islam, sebab selalu saja dia menghina dan mempermainkan Islam dalam videonya.

Tahun demi tahun, Namewee sentiasa buat hal. Berpuluh-puluh laporan polis telah dibuat tetapi dia terlepas bebas. Dia pernah dipanggil oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) kerana mengeluarkan video mencerca dan menunjukkan isyarat lucah yang dituju kepada pengetua sebuah sekolah di Kulai, Johor. Tidak ada sebarang tindakan undang-undang diambil ke atasnya.

Ini menambahkan lagi kebencian dan kemarahan rakyat terhadapnya. Rata-rata mengharapkan cukuplah ini kali terakhir peluang diberikan kepada Namewee kerana kemarahan rakyat sudah sampai tahap mendidih dan meluap-luap.

Tetapi, kes itu nampaknya tidak terhenti di situ sahaja. Namewee terus bebas dan dia boleh berbuat serta merancang apa sahaja pelan untuk menghina orang Islam, pihak berkuasa, kerajaan dan sesiapa yang dirasakan perlu menjadi sasarannya.

Dalam kesnya menghina seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada 2009 dahulu, dia hanya dijatuhkan hukuman Perintah Kehadiran Wajib selama tiga bulan dan bon jaminan sebanyak RM5,000.

Mengikut kertas pertuduhan bagi kes itu, Namewee didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan dia boleh kenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tetapi mahkamah meringankan hukuman kepada perintah kehadiran wajib. Dia terlepas dari hukuman penjara dan ini mendorongnya untuk tidak perit dan serik, serta peluang baginya untuk mengulangi lagi perbuatannya yang sensitif kepada umat Islam.

Buktinya, pada 2016, dia dipanggil polis bagi membantu siasatan berhubung klip video yang dilaporkan menghina Islam.

Klip video berdurasi lebih empat minit bertajuk “Oh My God” itu dicipta Namewee dan dirakamkan di tokong Cina, masjid serta beberapa lokasi tarikan pelancong di negara ini.

Dalam klip video itu, ada empat lelaki berpakaian mengikut agama di negara ini, manakala lagu dinyanyikan berentak rap itu dikatakan dirakam dalam kawasan Masjid Terapung, Jalan Tanjung Bungah.

Terdapat juga beberapa aksi yang dilihat berunsur penghinaan dengan perkataan “Allah” disebut beberapa kali dalam lirik lagu termasuk menyentuh gelas minuman, memakai jubah serta serban sambil bermain judi dan menyanyi serta menari dalam masjid.

Kes ini juga habis begitu sahaja. Dia tidak dikenakan hukuman penjara. Dia dibebaskan. Itulah istimewanya manusia bernama Namewee.

Dalam kes terbaharu, sekali lagi Cina ini menghina umat Islam. Dia cuba mengganggu sensitiviti rakyat Malaysia menerusi videonya berjudul, “Like A Dog”.

Walaupun mendapat amaran dari Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid, percayalah, amaran itu mungkin akan hilang bagai kabus ditiup angin.

Namewee tetap seekor anjing liar yang bebas menyalak dan mengganggu kesucian agama Islam, tidak ada sesiapa pun berani menyentuhnya.

Biar pun Namewee membuat penjelasan kononnya apa yang dibuatnya sekadar hiburan namun adakah kita masih menerima lagi? – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast