Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bercakap pada sidang media berkenaan perbincangan meja bulat bersama belia pelbagai agama bagi menangani masalah sosial beli di Menara Kementeria Belia dan Sukan, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 29 APRIL 2025.

PUTRAJAYA – Jumlah penyertaan golongan belia terhadap kelab dan persatuan turun mendadak kepada sejuta sejak kebelakangan ini berbanding 4.5 juta pada tahun 90-an.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, situasi ini didorong kecenderungan belia zaman sekarang yang tidak lagi berminat menyertai kelab dan persatuan secara fizikal.

“Pada 90-an 4.5 juta belia menyertai kelab sebegitu hampir 50 peratus daripada populasi belia.

“Hari ini, hanya sejuta yang menyertainya, bermaksud mereka tidak mahu lagi ikuti program atau kelab fizikal. Mereka lebih suka secara online (dalam talian) tanpa aktiviti fizikal,” katanya ketika sidang media Sesi Perbincangan Meja Bulat Bersama Pemimpin Belia Pelbagai Agama Bagi Menangani Masalah Sosial Belia di Menara KBS, hari ini.

Sehubungan itu katanya, KBS (Kementerian Belia dan Sukan) menerusi Majlis Belia Malaysia (MBM) mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) supaya dapat melaksanakan program secara fizikal di sekolah-sekolah.

Selain itu katanya, KBS meneruskan strategi mendekati golongan belia secara dalam talian khususnya menerusi media sosial.

“MBM telah minta supaya diberikan akses ke sekolah, ini KPM dan KPT sedang selaraskan.

“Tetapi ini satu cabaran, walaupun kelab-kelab dan persatuan belia boleh buat program di sekolah tetapi tidak akan dapat capai jumlah penyertaan seperti 1990-an kerana sekarang ada media sosial ada kemudahan networking secara dalam talian tanpa perlu hadir secara fizikal.

“Jadi kita usahakan apa yang kita mampu, kita perlu tahu cara untuk gunakan ruang dan peluang sebab ada teknologi untuk sampaikan mesej.

Kita kena lebih bijak daripada lawan kita (teknologi dan media sosial),” katanya.

Menurut Hannah, usaha ini tidak akan berjaya tanpa kerjasama daripada kementerian-kementerian lain.

Sementara itu, beliau berkata, Kajian Indeks Belia Malaysia 2023 yang dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) mencatatkan skor 80.13 belia negara ini mempunyai tahap kerohanian tinggi.

Sehubungan itu Hannah berkata, sesi perbincangan pada hari ini diadakan bagi membina jaringan dan perhubungan bersama pemimpin agama seterusnya membantu langkah intervensi masalah sosial dalam kalangan belia.

Perbincangan pada hari ini melibatkan 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai agama yang terdiri daripada badan-badan belia, institusi keagamaan dan pemimpin komuniti. -MalayisaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast