Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersalaman dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom sambil diperhatikan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Nazri Aziz (kiri) ketika hadir bagi mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pelancongan ke-14 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 20 FEBRUARI 2018.

PUTRAJAYA – Tiga perkara dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pelancongan pertama bagi memastikan Tahun Melawat Malaysia 2020 (VMY2020) mencapai sasaran dalam mengkoordinasi semua kementerian dan agensi bagi pembangunan industri pelancongan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pelancongan ke-14 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 20 FEBRUARI 2018.

Mesyuarat pertama hari ini dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan membincangkan tiga kertas pertimbangan berkaitan tiga isu utama.

“Masalah yang dihadapi oleh warganegara Iran untuk menyertai Program Malaysia Rumah Keduaku; Penyerahan urusan pengendalian pakej umrah dan ziarah kepada Jabatan Perdana Menteri dan Pelanjutan tempoh visa bagi pelancong warganegara Arab Saudi ke Malaysia,” kata jawatankuasa itu dalam satu kenyataan selepas mesyuarat hari ini.

Sekretariat VMY2020 ditubuhkan dibawah Tourism Malaysia akan menyelaraskan serta melaksanakan semua program dan aktiviti berkaitan dengan kempen tersebut.

Industri pelancongan merupakan antara penyumbang utama kepada sektor perkhidmatan negara dengan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 14.8 peratus atau RM182.4 bilion.

Antara sektor Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) pula, industri pelancongan merupakan penyumbang ketiga terbesar dengan nilai RM73.3 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar.

Guna tenaga industri pelancongan juga telah mencatatkan rekod tertinggi iaitu seramai 3.2 juta orang sebanyak 22.7 peratus daripada jumlah guna tenaga keseluruhan pada 2016.

Ketibaan pelancong asing ke Malaysia bagi 2017 adalah seramai 25,948,459 orang dan ia menurun sebanyak 3 peratus berbanding 2016.

Punca utama penurunan adalah kerana penurunan ketibaan pelancong daripada pasaran ASEAN sebanyak 3.9 peratus yang mana pasaran tersebut terus mendominasi ketibaan pelancong asing ke Malaysia dengan penguasaan sebanyak 75.1 peratus. – MalaysiaGazette