Home Ekonomi Versi akhir CPTPP diumumkan, tolak AS ketepi

Versi akhir CPTPP diumumkan, tolak AS ketepi

CPTPP
Gambar arkib: CPTPP

WELLINGTON –  Versi akhir perjanjian yang bermatlamatkan untuk menghapuskan halangan perdagangan di beberapa negara yang pantas berkembang di Asia Pasifik diumumkan hari ini.

Ini sekaligus memberi petunjuk bahawa pakatan Perjanjian Kerjasama Komprehensif dan Progresif bagi Trans Pasifik (CPTPP) semakin menjadi realiti walaupun tanpa kehadiran “bintang utamanya” Amerika Syarikat.

Lebih daripada 20 provisi telah ditukar atau digantung di dalam teks akhir tersebut termasuk yang melibatkan peraturan berkaitan hak harta intelek yang sebelum ini dimasukkan atas permintaan Washington.

Perjanjian tersebut dijangka dimeterai secara rasmi pada 8 Mac ini di Chile.

Dua belas ahli asal kelam kabut pada awal tahun lepas apabila Presiden Donald Trump bertindak keluar daripada pakatan berkenaan dengan alasan untuk melindungi pekerjaan di Amerika Syarikat.

Sebelas ahli yang tinggal, diketuai Jepun memuktamadkan semakan semula CPTPP pada Januari lalu.

Perjanjian berkenaan akan mengurangkan tarif-tarif ekonomi yang merangkumi jumlah lebih 13 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global yang secara keseluruhannya berjumlah AS$10 trilion.

“Perubahan besar TPP 11 adalah melibatkan penggantungan keseluruhan provisi perjanjian.

“Mereka telah menggantung banyak perkara-perkara kontroversi terutamanya yang melibatkan farmaseutikal,” kata Profesor Undang-Undang Universiti Sydney, Kimberlee Weatherall.

Kebanyakan perkara tersebut dimasukkan ke dalam TPP asal di atas permintaan perunding-perunding Amerika Syarikat seperti peraturan melibatkan perlindungan hak harta intelek kepada farmaseutikal yang mana terdapat banyak kerajaan dan aktivis bimbang mengenai kemungkinan berlakunya kenaikan kos ubat-ubatan.

Kejayaan pemeteraian itu adalah hasil kesungguhan pegawai-pegawai Jepun dan negara-negara anggota lain yang mahu melawan sikap pelindungan Amerika Syarikat dan dalam masa sama berharap negara tersebut menyertai semula pakatan berkenaan.

“CPTPP menjadi semakin penting apabila bertambahnya ancaman daripada peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia,” kata Menteri Perdagangan New Zealand David Parker pada Rabu.

Bulan lepas, Trump semasa Forum Ekonomi Dunia di Switzerland memberitahu, terdapat kemungkinan Washington akan kembali kepada pakatan tersebut sekiranya ada tawaran yang lebih baik.

Namun menurut Parker, tidak terdapat prospek yang Amerika Syarikat akan kembali ke pakatan perdagangan itu dan sekiranya Washington mahu menyertai CPTPP, tiada jaminan yang mengatakan negara-negara anggota bersedia untuk mengubah semula peraturan yang telah dipersetujui.

Menurut Parket, perjanjian tersebut mungkin dilaksanakan pada akhir 2018 atau separuh pertama 2019.

Kerajaan-kerajaan akan mendapat manfaat segera daripada perjanjian itu.

“CPTPP akan membantu membuka peluang pekerjaan di semua sektor di Australia seperti pertanian, pengilangan, perlombongan dan perkhidmatan apabila ia mencipta peluang baharu dalam perdagangan bebas melangkaui Amerika dan Asia,” Menteri Perdagangan Australia, Steven Ciobo dalam satu kenyataan.-MalaysiaGazette