KUALA LUMPUR – Secara tiba-tiba, nama bekas pengacara program 3R, Rafidah Abdullah menjadi sebutan apabila dia dikatakan telah ‘berkahwin’ dengan kaum sejenis di Australia.
Rafidah bagaimanapun tampil menafikan dakwaan tersebut dan menerusi status profil akaun Instagram miliknya, wanita berusia 42 tahun itu menyifatkan perkara tersebut berunsur fitnah.
“Sedang mengumpul pahala daripada fitnah orang,” tulisnya.
Rafidah turut menyangkal dakwaan itu menerusi jawapan di Direct Message (DM) kepada seorang pengikut di laman Instagram miliknya yang bertanyakan mengenai perkara itu.
“Hahahahahaha bodoh la semua ni fitnah je. Sesiapa yang kaki gosip tu, kalau nak buat search pendaftaran kahwin ke atau pun nak check passport akak sekal ipun, dipersilakan sebab sah-sah tak ada.
“Adik jangan risau, akak relax je di samping kucing-kucing tersayang. Layan binatang lagi berbaloi dari layan manusia,” jawab Rafidah lagi.
Sabtu lalu, timbul spekulasi selepas sebuah forum gosip berkongsi kisah yang menggunakan tajuk Siapa Pengacara Wanita Kahwin Pasangan Sejenis di Australia?
Dalam masa sama, gambar Rafidah dan wanita yang didakwa pasangannya itu mengundang pelbagai persoalan apabila memaparkan gambar mereka menunjukkan cincin di jari.
Malah kapsyen pada gambar itu juga solah-olah menggambarkan mereka sudah ‘berkahwin’ seperti yang tersebar.
“We…? Hells yeah, we are! Signing my death warrant/agreement to be enslaved. no hashtag, no photoshoot, no special dress. Just love. We did it. Many thanks, friends.
You’ve been great!” tulis wanita itu di laman media sosial miliknya. – MalaysiaGazette