PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengeluarkan produk makanan Indonesia yang didapati mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi sekiranya berada di pasaran tempatan.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya mengadakan perbincangan dengan Jakim untuk memastikan produk terbabit dikeluarkan segera dari pasaran negara.
“Sebaik kita dapat maklumat terbabit, kita ada perbincangan dengan Jakim untuk memastikan produk berkenaan dapat dikeluarkan segera dari pasaran kita.
“Jadi, kita akan bekerjasama dengan Jakim dan agensi agama peringkat negeri, bersandarkan pengumuman dibuat badan halal Indonesia, kita akan ambil tindakan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), di sini, hari ini.
Majlis sambutan itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jakim sebelum ini mengarahkan pengimport menarik balik produk makanan dari Indonesia yang didapati mengandungi DNA babi dari pasaran tempatan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, arahan itu susulan pengumuman rasmi oleh Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) dan Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) Republik Indonesia semalam berhubung penarikan balik produk terbabit.
Berdasarkan siaran media rasmi BPJPH, pemantauan bersama dengan BPOM mendapati 11 ‘batch’ daripada sembilan produk makanan dikesan mengandungi DNA babi (porcine) melalui analisis makmal.
Dalam perkembangan lain, Armizan berkata, mesyuarat Kabinet yang diadakan hari ini bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Penstabilan Bekalan dan Harga Barangan Keperluan Harian.
Ujarnya, penubuhan jawatankuasa teknikal itu untuk memperkasa dan menstruktur kerjasama merentasi kementerian yang digerakkan secara ad hoc sebelum ini setiap kali menjelang musim perayaan.
“Penubuhan jawatankuasa teknikal ini adalah bertujuan untuk baik bentuk kerjasama kepad agerak kerja yang lebih strategik dan berterusan melalui mesyuarat serta pelaporan berkala.
“Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha (KSU) KPDN (Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar) dan mesyuarat pertama akan berlangsung bulan depan,” tambahnya.
Beliau memberitahu, jawatankuasa teknikal itu juga akan berperanan sebagai mekanisme amaran awal bagi memastikan isu berkaitan harga dan bekalan dapat ditangani dengan cekap serta berkesan.
Jawatankuasa teknikal tersebut akan dianggotai oleh wakil dari Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Perladangan dan Komoditi serta agensi dan industri berkaitan. – MalaysiaGazette
JAKIM arah pengimport tarik balik produk makanan dari Indonesia mengandungi DNA babi
















