KUALA LUMPUR – Usaha kerajaan hendak membentuk satu identiti nasional tidak akan tercapai jika patuh dan tunduk kepada tekanan pihak tertentu yang mendesak supaya menambahkan pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT).
Timbalan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Sirajuddin Salleh berkata, hasrat murni kerajaan itu tidak akan tercapai dengan wujudnya sekolah vernacular, SJKC dan SJKT yang menggunakan bahasa Mandarin serta bahasa Tamil sebagai pengantar.
Katanya, bagi Perkasa, sekolah kebangsaan adalah saluran pendidikan yang dirangka cukup baik untuk rakyat Malaysia yang berbeza dari segi agama, bangsa, kebudayaan dan bahasa untuk mendapat pendidikan awal di bawah satu sistem yang harmoni dan dinamik.
“Bahasa Melayu yang menjadi bahasa Kebangsaan pula hanya diajar sebagai subjek dalam proses pengajaran dan pembelajarannya, tapi dengan bertambahnya SJKC dan SJKT, akan semakin rengganglah hubungan antara kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain kaum di negara ini.
“Masyarakat Malaysia akhirnya tidak dapat membentuk satu identiti nasional kerana mereka telah diasuh dan dididik berdasarkan kaum masing-masing.Tentunya semangat perkauman mereka tambah menebal,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Prof. Dr. Teo Kok Seong dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang menghuraikan betapa pentingnya kerajaan segera melaksanakan sistem Sekolah Satu Aliran (SSA).
Kata Sirajuddin, beliau menyokong penuh saranan itu kerana Perkasa sudah sekian lama memperjuangkan sistem SSA.
“Kami desak kerajaan secara serius menubuhkan sekolah satu aliran ini dengan kadar segera memandangkan keharmonian antara kaum semakin hari semakin menuju kehancuran.
“Pemimpin Cina dan India hendaklah faham tidak ada yang lebih penting daripada perpaduan nasional dan kestabilan negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette