Ir Guntor Tobeng

KUALA LUMPUR – Gading Kencana Development Sdn. Bhd. telah membida tiga projek solar di di Arab Saudi, Kemboja dan Indonesia bernilai RM1.5 bilion.

Pengarah Urusannya, Datuk Ir. Guntor Tobeng berkata, pihaknya berharap dapat memuktamadkan bidaan itu pada tahun hadapan.

Beliau menjelaskan, kapasiti pengeluaran tiga projek tersebut berjumlah 290 megawatt (MW).

“Kita berharap dapat mengetahui keputusan bidaan ini pada tahun hadapan. Bagaimanapun, kami perlu bersaing dengan seramai 200 lagi syarikat sebelum keputusan dimuktamadkan pada 2019.

“Kami memang merancang melangkah lebih jauh lagi dengan membangunkan projek tenaga solar di luar negara selain menumpukan kepada pasaran dalam negara.

“Sehingga kini, projek syarikat di luar negara seperti di Arab Saudi itu melibatkan kapasiti pengeluaran sebanyak 250MW, Kemboja (10MW) dan Indonesia (30MW),” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Mengulas kriteria kawasan yang sesuai untuk pembangunan projek tenaga solar, Guntor memberitahu, tanah tersebut perlu terletak berhampiran talian gred dan pencawang masuk utama (PMU) bagi memudahkan tenaga disalurkan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Seperti di Bidor, Perak, kami menggunakan 110,500 keping solar modul buatan Malaysia. Malah, kawasan ini dikenal pasti mempunyai kadar pancaran matahari yang baik dengan jumlah kumulatif purata data penyinaran setahun adalah 1,695.2 kilowatt sejam/meter persegi,” katanya.

Beliau memberitahu, syarikatnya turut merancang untuk disenaraikan dalam pasaran Leading Entrepreneur Accelerator Platform (LEAP) di Bursa Malaysia dalam tempoh tiga tahun lagi.

Jelasnya, langkah itu merupakan sebahagian daripada perancangan syarikat untuk berkembang di peringkat antarabangsa dengan meraih lebih ba­nyak projek tenaga solar berkapasiti tinggi.

“Penglibatan aktif syarikat dalam projek solar sejak ditubuhkan pada 20 Julai 1993 adalah selaras dengan hasrat negara untuk mencapai sasaran 2,080 MW pembangunan tenaga boleh diperbaharui (RE) menje­lang 2020 di bawah Dasar Tenaga Boleh Diperbaharui dan Pelan Tindakan,” katanya.

Baru-baru ini, Gading Kenca­na yang merupakan sa­lah sebuah Sya­rikat Bu­mi­putera Ber­prestasi Tinggi (Teras) di bawah Unit Peneraju Agenda Bumipu­tera (Teraju) memperoleh pembiayaan dari Affin Islamic Bank Bhd. sebanyak RM130.34 juta.

Pembiayaan itu bagi membiayai sebahagian projek Solar Photovoltaic Berskala Besar (LSSPV) dengan kos keseluruhan berjumlah RM214 juta di Bidor, Perak dengan selebihnya ditanggung oleh ekuiti syarikat pemaju itu.

Projek yang dibina di kawasan seluas 39.66 hektar itu dijangka memulakan operasi pada 28 Jun tahun ini dengan kapasiti pengeluaran 30MW.

Selain itu, Gading Kencana mempunyai projek ladang solar di Ayer Keroh, Melaka seluas 3.24 hektar melibatkan pelaburan berjumlah RM84 juta dengan kapasiti pengeluaran 8MW. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast