SERDANG- Elaun peserta Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) dinaikkan kepada RM2,000 berbanding RM1,500 sebulan sebelum ini.
Perkara tersebut diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa melancarkan Program Temuduga Terbuka SL1M Peringkat Zon Tengah 2018.
Menurut Najib, dasar kerajaan adalah untuk membantu semua rakyat dengan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk latihan kepada graduan sebelum menyertai peluang pekerjaan.
“Kerajaan tidak akan mengamalkan falsafah “biar pasaran tentukan” kerana kita tidak mahu graduan-graduan kita menganggur.
“Kita tengok masalah sukar mendapat pekerjaan kerana kekurangan kemahiran tambahan seperti komunikasi dan keyakinan diri.
“Jadi melalui SL1M, kita dapat mengilap bakat mereka kerana kita tahu mereka mempunyai potensi dan selepas program ini, ramai yang telah mendapat tawaran kerja,” katanya ketika menyampaikan ucapan pelancaran di sini hari ini.
Tambah Najib, kerajaan pada hari ini memberi fokus kepada orang muda yang bakal mencorak masa depan negara.
Katanya, pertumbuhan ekonomi yang rancak serta hubungan baik Malaysia dengan negara -negara luar adalah untuk memastikan lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan kepada rakyat.
Temuduga Terrbuka SL1M Peringkat Zon Tengah 2018 berlangsung di MAEPS Serdang pada hari ini dan esok menawarkan lebih 15,000 peluang pekerjaan dan latihan kepada semua pencari kerja tanpa mengira latar belakang dan kelulusan oleh 150 majikan.
Sejak dilancarkan pada 2011, program SL1M telah berjaya meningkatkan kebolehpasaran kepada lebih 140,000 graduan tempatan.-MalaysiaGazette