Home Ekonomi Jualan murah jangan menjelang PRU saja

Jualan murah jangan menjelang PRU saja

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin serta Menteri Pertanian Industri Asasi Tani, Datuk Seri Shabery Cheek melawat gerai jualan pada Program Jualan Sentuhan Rakyat di Desa Pandan, Kuala Lumpur. foto AQIRA AZEMI, 24 FEBRUARI 2018

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta memperluaskan Program Jualan Sentuhan Rakyat secara lebih meluas dan proaktif supaya ia tidak hanya dilakukan menjelang pilihan raya umum.

Ternyata program itu sangat baik kerana dapat membantu mengurangkan beban dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup yang tinggi terutama bagi golongan B40 dan M40.

Penasihat Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Prof. Datuk Dr. Hamdan Adnan berkata, jika program itu boleh dilaksanakan pada masa ini, tidak ada sebab ia tidak boleh diteruskan selepas pilihan raya umum nanti.

Ini kerana, Malaysia mempunyai banyak agensi dan pertubuhan yang terlibat dalam sektor makanan.

Malah, negara ini juga pengeluar terbesar dalam sektor-sektor pertanian tertentu.

Menurutnya, apa yang dilakukan oleh kerajaan menerusi program itu telah pun dilakukan dahulu melalui Pasar Tani apabila petani dan nelayan sendiri diminta menjual hasil mereka terus kepada pengguna.

“Tapi tak tahulah di mana silapnya, Pasar Tani yang sepatutnya menawarkan harga murah berbanding pasar pun mahal juga.

“Saya suka dengan Program Jualan Sentuhan Rakyat ini. Ikan-ikan, daging, ayam dan beras dapat dibeli pada harga murah. Maknanya memang harga bahan mentah tidak mahal mana jika isu orang tengah dan peniaga tidak bertanggungjawab boleh ditangani.

“Yang penting penguatkuasaan dan kawalan. Kerajaan perlulah mencari kaedah yang mana nelayan, petani atau peniaga tidak rugi dan pengguna tidak terbeban,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tambah Hamdan, rakyat memahami kenaikan kos hidup memang berlaku di seluruh dunia disebabkan banyak faktor.

“Tetapi jika setiap kementerian, agensi dan jabatan kerajaan dapat melaksanakan kawalan dan penguatkuasaan, pastinya isu ini dapat ditangani.

“Di Malaysia ini, dalam apa perkara pun ‘perut’ rakyat kena diberi keutamaan. Kalau masalah ini diatasi, pastinya kita semua gembira,” ujarnya. – MalaysiaGazette