KUALA LUMPUR – Berita kren tumbang di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) pagi tadi memang menggemparkan. Apatah lagi ia berlaku di atas Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) antara jalan paling kritikal di bandar raya ini.

Dari pagi hingga tengah malam, MRR2 tidak pernah lengang dari kenderaan memandangkan ia menjadi penghubung kepada pengguna lalu lintas untuk ke mana-mana.

Lega. Nasib baik tidak ada kemalangan jiwa atau kerosakan besar berlaku namun seorang pekerja dilaporkan mengalami kecederaan di kepala selepas berjaya melompat menyelamatkan diri.

Insiden kren tumbang ketika waktu puncak di MRR2 diharapkan dapat membuka mata syarikat pengendali konsesi SUKE kerana ini bukan kejadian pertama membabitkan projek tersebut.

Awal bulan ini, kerja-kerja di tapak pembinaan SUKE di Taman Bukit Saga dihentikan serta-merta selepas kejadian bongkah batu terjatuh di kawasan berkenaan.

Gambar kren membawa muatan di Bandar Tasik Selatan yang menjadi lokasi projek SUKE yang dikongsi netizen pada tahun lalu.

Juga tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan dan hanya beberapa kenderaan dan rumah menerima kesan kotor akibat percikan lumpur akibat kejadian tersebut.

Jika masih ingat pada tahun lalu, netizen heboh apabila kren mengangkut muatan berat tanpa menutup laluan pengguna di Bandar Tasik Selatan.

Penulis adalah pengguna tegar MRR2, Setiap hari menggunakan jalan tersebut dan melalui laluan projek pembinaan SUKE. Kalau dari Bandar Tasik Selatan dari jauh kelihatan kren-kren tinggi pelbagai warna beroperasi dari pagi hingga petang.

Umum tahu, MRR2 bukan jalan besar, sesetengah ada dua lorong dan sebahagiannya tiga lorong. Pendek kata MRR2 adalah jalan kecil berbanding kapasiti kenderaan yang menggunakannya.

Dari Bandar Tasik Selatan, hanya kon-kon dan bongkah batu sahaja yang diletakkan di sepanjang dan tepi jalan untuk dijadikan zon penampan antara tapak projek dan laluan kenderaan.

Tidak pasti sama ada penulis sahaja yang rasa takut setiap kali melalui MRR2 terutama hujan beserta angin kerana kren-kren berkenaan juga kelihatan bergoyang. Mujur sekarang Kuala Lumpur panas.

Di MRR2 berhampiran persimpangan masuk dan keluar ke Ulu Kelang juga tidak kurang menakutkan, Sudahlah jalan semakin kecil, papan-papan tanda amaran juga tidak diletakkan dengan jelas.

Persoalannya, adakah syarikat konsesi memantau kerja-kerja pembinaan lebuh raya berkenaan dan apakah tindakan-tindakan yang dilakukan kontraktor sudah mencukupi dan mematuhi prosedur atau sekadar memadai sahaja?

Kalau mematuhi prosedur mengapa kes-kes bongkah batu jatuh dan kren tumbang boleh berlaku dalam tempoh yang singkat. Itu kes yang umum tahu. Insiden yang tidak dilaporkan netizen kita tidak tahu.

Kepada pihak berkuasa, sesekali turunlah padang, lihatlah sendiri tahap keselamatan tapak-tapak projek untuk memastikan prosedur kerja dipatuhi demi keselamatan setiap nyawa di kawasan tapak projek.

Sebagai pengguna kita tahu, pembinaan lebuh raya sudah menjadi keperluan dalam usaha kelancaran lalu lintas tetapi jangan pula aspek keselamatan diabaikan

Kepada Projek Lintasan SUKE, permohonan maaf dan jaminan syarikat setiap kali berlaku insiden tidak membawa apa-apa makna sekiranya ia tidak disusuli dengan tindakan yang proaktif.

Seharus isu tadbir urus dalam pelaksanaan projek ini tidak boleh dipandang ringan memandangkan syarikat konsesi lebuh raya ini dimiliki oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) menerusi Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd.

PNB seperti yang diketahui cukup memelihara tadbir urus yang baik dalam pengurusan dan pentadbirannya sejak dahulu dan tidak ada alasan untuk anak-anak syarikatnya gagal mematuhinya.

Lagipun SUKE bukan projek pertama Prolintas, lantaran itu soal pengalaman, ketersediaan dan kemampuan dalam mengendalikan projek mega bukan lagi umpana ‘budak baru belajar’. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast