Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mencuba proses memotong ikan tuna semasa melawat kilang ikan beku Labuan Food Industries di Sabah baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Bekalan ikan segar beku atau Q Fish dilihat cara terbaik memenuhi permintaan dan dalam masa yang sama mengurangkan kos kepada rakyat Malaysia.

Ini kerana kos sara hidup tinggi sering menjadi masalah utama rakyat ketika ini terutama didalam kos membeli makanan mentah seperti ikan dan hasil laut lain yang harganya semakin melonjak naik.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila musim tengkujuh yang mana para nelayan tempatan tidak dapat ke laut antara bulan November hingga ke Mac setiap tahun disebabkan oleh ombak dan tiupan angin kencang.

Bagi memenuhi permintaan, ada beberapa pemain industri pengimport ikan akan mengimport ikan dan makanan laut lain dari luar negara bagi memenuhi permintaan di pasaran termasuk
Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT).

Namun NEKMAT masih belum mampu membekalkan ikan segar beku Q Fish yang mencukupi bagi memenuhi permintaan pasaran kerana hanya mampu menyimpan bekalan sebanyak 700-800 metrik tan sahaja sedangkan pasaran memerlukan sekurangnya 151,000 metrik tan sebulan.

Tambahan pula rakyat Malaysia menjadi antara negara yang memakan ikan terbanyak dunia iaitu purata seorang rakyat negara ini memakan sekitar 56 kilogram (kg) setahun dan 4.6 kg sebulan.

Ini jauh lebih tinggi dari Jepun – sebuah negara pengeluar ikan terbesar yang hanya memakan sekitar 20 kg setahun seorang sahaja.

Justeru, Pengerusi Pertubuhan Penggerak Nadi Rakyat, Syed Rosli Jamalullail menegaskan sudah tiba masa kerajaan dan swasta berganding mahu memenuh permintaan rakyat Malaysia dan membekalkan ikan dan hasil laut yang harganya murah dan stabil.

“Persepi rakyat bahawa ikan segar beku ‘Q Fish’ tidak sedap dan segar adalah hanya satu persepi yang tidak tepat sama sekali,penulis sendiri sudah mencuba makan Q Fish dan rasanya sesedap ikan segar lain dan paling menarik ianya dijual pada harga syiling RM10 kg sahaja.

“Mungkin kita juga sudah terlupa dengan daging yang kita biasa makan dan beli yang mana ianya adalah daging kerbau beku dari India bukannya lembu tempatan.

“Ini kerana daging tempatan jauh lebih mahal iaitu dijual sekitar RM40 kg berbanding daging kerbau beku India hanya RM14-16 kg sahaja,” katanya.

Syed Rosli mewakil NGO melihat sendiri proses ikan sejuk beku di Labuan Food Industries di Sabah baru-baru ini.

Justeru, sebagai NGO yang memperjuangkan isu kenaikan harga barang termasuk hasil laut, pihaknya berharap kerajaan dapat membantu syarikat swasta milik rakyat tempatan yang membekalkan Q- Fish termasuk Labuan Food Industries Sdn. Bhd.

Syed Rosli yang mengikuti sesi lawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Shabery Cheek ke kilang proses ikan di Labuan Food Industries pada 22 Februari lalu melihat sendiri proses menjadikan ikan sejuk beku.

Kesemua ikan yang diproses mereka merupakan hasil daripada laut di perairan Sabah.

“Ketika ini pihak Labuan Food Industries mampu memproses dan mengeluarkan sebanyak 25 hingga 40 metrik tan sehari dengan kekuatan 150 pekerja dan memiliki 12 bot nelayan mereka sendiri,namun ianya juga masih tidak mampu untuk memenuhi permintaan pasaran,” kata Syed Rosli.

Syarikat itu juga merancang memperbesarkan pengeluaran mereka sekurangnya mampu memproses 125 metrik tan sehari dengan menambah mesin pengeluaran daripada hanya satu ketika ini kepada lima.

Bagi merealisasikan pengeluaran itu Labuan Food Industries memerlukan modal pinjaman sebanyak RM70 juta dan pihaknya percaya dengan usahasama dengan kerajaan mereka mampu seterusnya dapat membekalkan ikan mencukupi dan murah kepada rakyat di negara ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast