TOKYO – Polis Jepun sedang menyiasat penemuan kepala wanita terputus dan beberapa bahagian badan lain di lokasi berlainan selepas mendapat maklumat daripada seorang warga Amerika Syarikat yang ditahan susulan kehilangan mangsa.
Polis menemui tubuh manusia dan dua lengan di pergunungan berhampiran bandar barat Osaka dan dua kaki di ibu kota purba Kyoto, kira-kira 50 kilometer jauhnya, menurut media tempatan.
Penemuan tubuh manusia itu selepas satu kepala wanita yang tidak dikenali ditemui di tinggalkan dalam sebuah bilik sewa oleh warga Amerika.
Lelaki berusia 26 tahun itu sudah ditahan dan mengaku membuang anggota-anggota tubuh wanita tersebut.
Kali terakhir wanita itu ditemui pada pertengahan bulan ini ketika berjalan memasuki sebuah bangunan di Osaka dengan seorang lelaki.
Sebelum hilang, wanita itu ada memberitahu rakannya mahu melawat seorang lelaki yang dikenali melalui atas talian.
Kamera litar tertutup mendedahkan wanita itu memasuki bangunan dengan suspek tetapi tidak keluar lagi selepas itu.
Suspek pula dilihat keluar dan masuk kompleks itu beberapa kali antara 16 dan 18 Februari dengan membawa beg besar. – MalaysiaGazette