KUALA LUMPUR – Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun 2017 akan diumumkan pada 6 Mac ini.

Ketua Eksekutif Majlis Peperiksaan Malaysia, Mohd. Fauzi Mohd. Kassim berkata, calon-calon yang telah menduduki peperiksaan itu boleh mendapatkan keputusan rasmi itu di sekolah masing-masing pada hari yang sama.

“Pelajar boleh mendapatkan slip keputusan STPM 2017 di sekolah mereka bermula pukul 12 tengah hari.

“Manakala calon individu yang telah menduduki peperiksaan itu secara persendirian akan memperolehi keputusannya melalui pos,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd. Fauzi, calon juga boleh menyemak keputusan mereka memalui Sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) pada hari yang sama.

Jelas beliau, calon perlu menaip STPM RESULT<jarak>no.kad pengenalan> dan menghantarkannya ke 15888.

“Mereka juga boleh menyemak keputusan STPM secara dalam talian dengan melayari portal Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) http://www.mpm.edu.my mulai 12 tengah hari pada tarikh keputusan dikeluarkan di seluruh negara.

Seramai 43,042 calon menduduki Peperiksaan STPM 2017 di 700 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 42,694 (99.19 peratus) calon adalah daripada sekolah kerajaan, 204 (0.47 peratus) calon sekolah swasta, 136(0.32 peratus) calon persendirian individu, dan lapan atau 0.02 peratus calon merupakan daripada sekolah kerajaan negeri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast