PUTRAJAYA – Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan gagal mendapat kebenaran untuk merayu berhubung salah laku tort misfeasans dalam saman awam mereka terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Bekas perdana menteri berusia 93 tahun dan Khairuddin, 55, bekas naib ketua UMNO Batu Kawan, telah memohon kebenaran untuk membuat rayuan dalam mengembalikan semula saman mereka yang telah ditolak Mahkamah Tinggi dan keputusannya ditangguhkan Mahkamah Rayuan.
Panel Hakim Mahkamah Persekutuan yang terdiri daripada Ketua Hakim Tun Md Raus Sharif dan Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Sri Balia Yusof Wahi dan Tan Sri Wira Aziah Ali sebulat suara menolak rayuan mereka dan memerintahkan kedua-duanya membayar kos RM20,000.
Dalam keputusannya, Hakim Md Raus yang mempengerusikan barisan panel hakim berkata Mahkamah Persekutuan bersetuju dengan tafsiran yang dibuat Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan bahawa Najib bukan seorang pegawai awam.
Beliau berkata perkara itu melibatkan tafsiran Perlembagaan Persekutuan dan status mengenai maksud ‘pegawai awam’ itu adalah sama ada Najib adalah pegawai awam.- BERNAMA