Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Seri Noh Omar ketika hadir membuat lawatan kerja baik pulih rumah serta menyampaikan surat tawaran menduduki dan kiosk solar di PPR Lembah Subang, Subang. foto SAFWAN MANSOR, 28 FEBRUARI 2018.

SUBANG – Sebanyak RM28 juta telah diperuntukan untuk penambahbaikan kerosakan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar.

Penambahbaikan itu melibatkan pemasangan sebanyak 23 lif baharu, pembinaan rumah sampah baharu, membaiki rumah yang rosak dan penyediaan kios solar untuk peniaga.

“Kita baiki prasarana, kita sudah belanja dekat RM28 juta, ini beza kerajaan Barisan Nasional (BN) dan kerajaan negeri.

“Kita tidak minta satu sen daripada rakyat,” kata beliau semasa lawatan kerja ke PPR Lembah Subang 1 di sini petang tadi.

Menurut Noh, sebanyak lapan daripada 23 lif sudah siap dipasang, 224 rumah kosong dibaiki, 21 buah kiosk solar dan enam buah rumah sampah dibina di PPR tersebut.

Noh menjelaskan, bantuan kepada penduduk di situ adalah ikhlas dan bukan kerana pilihan raya sudah dekat disamping menasihati penduduk supaya tidak termakan hasutan mereka yang menang tapi mengabaikan penduduk.

“Saya berniat untuk tolong bukan kerana pilihan raya, tapi niat hati saya sendiri.

“Tolong ketepikan fahaman politik. Wakil rakyat diatas senang lenang kita kat bawah siapa ambil tahu? Mana pembelaan yang patut diberi,” kata Noh lagi.

PPR Lembah Subang 1 menempatkan sebanyak 3,004 unit di dapati tidak terurus dan dibelenggu pelbagai masalah akibat kegagalan kerajaan negeri Selangor menguruskan perumahan itu selepas mengambil alih pada tahun 2008.

Kontroversi tercetus selepas KPKT bertekad untuk mengambil alih pengurusan PPR Lembah Subang 1 daripada kerajaan negeri Selangor walaupun gagal mendapat kata putus.

Noh berkata, tindakan itu perlu kerana kerajaan negeri menerusi Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah gagal menguruskan perumahan itu dengan baik. – MalaysiaGazette