Ketua Pegawai Eksekutif FGV Holdings Berhad, Datuk Zakaria Arshad (tengah) beramah mesra dengan sebahagian pengamal media pada Majlis Makan Malam FGV sempena sambutan Tahun Baru Cina di Hotel Hilton, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 28 FEBRUARI 2018

KUALA LUMPUR- Felda Global Ventures Holdings (FGV) meramalkan masa depannya lebih cerah selepas merekodkan lonjakan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak 60 peratus kepada RM417 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Zakaria Arshad berkata, prestasi bulan Januari menyaksikan peningkatan hasil melebihi 40 peratus sekali gus memberi harapan besar syarikat peladangan sawit terbesar negara itu bakal mencatatkan keuntungan lebih baik tahun ini.

“FGV is back (FGV kembali) dengan keputusan yang lebih baik dalam tempoh terdekat.

“Contoh terbaik, hasil kami bagi bulan Januari tahun ini meningkat melebihi 40 peratus.

“Ini menunjukkan berita baik bukan datang sekali sahaja (semasa pengumuman prestasi kewangan 2017) tetapi lebih banyak berita baik akan menyusul selepas ini,” katanya semasa berucap di majlis sambutan Tahun Baharu Cina bersama media di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif FGV Holdings Berhad, Datuk Zakaria Arshad (empat kanan) bersama Pengurusan Kanan FGV melakukan ‘Yee Sang’ pada Majlis Makan Malam FGV sempena sambutan Tahun Baru Cina di Hotel Hilton, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 28 FEBRUARI 2018

Beliau yang kembali bertugas menerajui syarikat tersebut sejak Oktober tahun lalu berazam meneruskan prestasi kukuh FGV pada tahun ini tambahan pula pelan transformasi strategik perniagaan perladangan telah mula menampakkan hasil.

Pada tahun kewangan 2017, syarikat peladangan sawit itu merekodkan perubahan besar sektor peladangan dengan keuntungan melonjak kepada RM554 juta berbanding RM234 juta tahun sebelumnya.

Prestasi memberangsangkan itu didorong oleh pengeluaran buah tandan segar yang lebih tinggi, keuntungan jualan minyak sawit mentah yang lebih baik dan pengkuhan keuntungan daripada syarikat-syarikat usahasama.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast