Medium penjualan barang terpakai dalam talian, Caraousell

KUALA LUMPUR- Urusniaga medium penjualan barangan terpakai secara dalam talian, Carousell Marketplace melonjak melebihi 20 peratus pada musim perayaan Tahun Baharu Cina yang baru berbanding 14 peratus yang direkodkan tahun lepas.

Kaji selidik yang julung-julung kali diadakan itu menunjukkan 80 peratus responden dijangka meningkatkan perbelanjaan dalam talian pada 2018 kerana lebih selesa dan harga yang kompetitif.

“Lonjakan urusniaga semasa musim perayaan adalah sesuatu yang biasa.

“Peningkatan sebanyak 20 peratus seminggu tahun ini menunjukkan rakyat Malaysia semakin bijak berbelanja dan mengamalkan gaya hidup yang mementingkan kelestarian kewangan,” kata Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Teknologi Caraousell, Lucas Ngoo dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kaji selidik menunjukkan 46 peratus golongan muda yang bekerja berumur dalam lingkungan 25 sehingga 34 tahun memiliki maksima sembilan barangan yang tidak pernah digunakan atau jarang digunakan di rumah.

Dua puluh peratus daripada kumpulan tersebut akan menjual barangan mereka bagi mendapatkan pendapatan tambahan.

Pakaian dan aksesori merupakan antara barangan paling popular untuk dijual diikuti barangan elektronik.

“Jumlah rakyat Malaysia melupuskan barangan mereka melalui penjualan dalam talian meningkat dari tahun ke tahun.

“Berbanding hanya membuang barang tersebut, kami rasa kita boleh memberi nyawa baharu kepada barang tersebut untuk digunakan oleh yang memerlukannya,” katanya.

Malaysia telah diiktiraf sebagai pasaran e-dagang kedua yang hampir matang di ASEAN selepas Singapura dengan lebih 20 juta pengguna Internet dan pakar-pakar industri menjangkakan pertumbuhan dua digit bagi pasaran digital tahun ini.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast