Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, tinggal dua minggu sahaja lagi untuk beliau bersara secara rasmi.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut mengenai khabar angin tempoh perkhidmatannya sebagai pegawai kedua tertinggi dalam PDRM berkemungkinan dilanjutkan.

“Secara rasmi saya ada tempoh dua minggu lagi untuk persaraan.Saya sudah berikan yang terbaik selama tempoh berkhidmat dalam PDRM.

“Kini tiba masanya untuk berehat, namun berhubung penyambungan (perkhidmatan), saya tak mahu mengulas lanjut,” katanya dalam sidang media di sebuah majlis di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) hari ini.

Sebelum itu Noor Rashid menyempurnakan Penutupan Bengkel Kebangsaan Penilaian dan Latihan Penyiasatan Insiden Bio ke-3 di Bangunan Akademi PULAPOL.

Turut hadir Duta Khas Amerika ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd.

Menurut sumber polis, perkhidmatan Noor Rashid mungkin akan dilanjutkan secara kontrak kali ini.

Namun sumber itu tidak berkongsi sebarang butiran lanjut yang sah setakat ini oleh PDRM berhubung tempoh perlanjutan perkhidmatan Noor Rashid yang akan bersara wajib pertengahan Mac ini.

Noor Rashid dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada 1 Disember 2014. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast