Pandikar Amin Mulia

KUALA LUMPUR – Usul blok pembangkang untuk membahaskan tindakan pihak berkuasa Indonesia menyita sebuah kapal layar mewah ditolak di Dewan Rakyat hari ini.

Usul tersebut dibawa oleh Ahli Parlimen Alor Setar (PKR), Gooi Hsiao Leung tetapi speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolaknya atas alasan kes tersebut sedang dalam siasatan pihak Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ).

“Kapal itu sekarang disita oleh polis Indonesia, bila saya buat penyelidikan ia adalah antara benda yang sekarang ni dalam proses mahkamah, DoJ di Amerika Syarikat (AS) menyita mana-mana aset yang sedang disita.

“Saya juga difahamkan kerajaan AS sama ada FBI atau CIA meminta bantuan daripada kerajaan Indonesia dengan menahan dan menyita kapal tersebut, jadi ia bermakna ada direct link dengan sivil di AS bahawa itu adalah perkara yang sedang diburu sejak dulu lagi.

“Kalau saya benarkan untuk usul itu dibincang maka saya telah membuat ruling pada sisi-sisi lalu, kes ini dalam perbicaraan, di hadapan saya ni ada dokumen yang menyatakan bahawa ini adalah satu daripada benda yang mereka sedang buru dan siasat,” katanya.

Pandikar menjelaskan, keputusan yang dibuat di bawah peraturan mesyuarat 18 (1) adalah tidak boleh dibantah dan semua ahli parlimen harus akur dengan keputusan yang dibuat.

“Ahli parlimen boleh keluarkan pendapat, tapi kalau pendapat itu bukan tafsiaran yang benar ikut peraturan mesyuarat, kena akur dengan saya,” jelasnya lagi.

Terdahulu, pihak berkuasa Indonesia menyita sebuah kapal layar mewah di Bali, yang dikehendaki DoJ dalam siasatan rasuah berbilion dolar dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketika operasi itu dijalankan, 34 anak kapal berada dalam kapal itu, tetapi tiada kelibat Jho Low.

Menurut laporan media, penyiasat dilihat membawa kira-kira sedozen beg bimbit dan beg hitam dari kapal itu tetapi tidak diketahui isi kandungannya.

Kapal bernama Equanimity yang bernilai AS$250 juta itu dilaporkan dibina khas untuk Jho Low pada 2014. Ia antara aset penting dikehendaki DoJ dalam saman sivil dikaitkan dengan pengubahan wang haram.

DoJ menerusi saman sivil di mahkamah AS mahu merampas aset lebih AS$1.7 bilion, yang didakwa dibeli dengan dana dicuri daripada 1MDB. – MalaysiaGazette