KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mencadangkan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan sekurang-kurangnya 21 hari tempoh berkempen pada PRU-14.
Sambil menyifatkan tindakan memendekkan tempoh berkempen sebelum ini sebagai tidak adil, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berpendapat tempoh kempen lebih lama beri masa calon lebih mendekati rakyat.
“Dengan peruntukan ini, tiada sebab SPR menetapkan tempoh berkempen dalam jangka waktu singkat.
“Bagi PRU-14, saya cadangkan SPR dapat mempertimbangkan untuk menetapkan sekurang-kurangnya 21 hari bagi kita berkempen bagi membolehkan calon dan parti dapat mendekati pengundi yang semakin bertambah,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Dewan Rakyat hari ini.
Wan Azizah sebagai Ketua Pembangkang juga kelihatan tidak berpuas hati apabila tempoh berkempen 35 hari bermula pada tahun 1959 semakin disingkatkan sehingga tahun 2004.
“Pada PRU 1982, tempoh berkempen disingkatkan kepada 15 hari, kemudiannya dikurangkan lagi kepada 10 hari pada PRU 1986, 1990 dan 1995.
“Tempoh berkempen turut dikurangkan kepada sembilan hari pada 1999 dan lapan hari pada 2004, yakni tempoh paling singkat dalam sejarah PRU.
“Tempoh berkempen kembali kepada 13 hari pada 2008 dan bertambah kepada 15 hari pada PRU-13,”ujarnya.
Wan Azizah yang juga Presiden PKR turut mempertikaikan pemansuhan undi pos oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan menggantikannya dengan pengundian awal bagi anggota keselamatan pada PRU-14.
“Tahun ini kita dikejutkan Pengerusi SPR yang baru (Datuk Seri Hashim Abdullah) bahawa perwartaan undi pos telah dilakukan oleh SPR bagi membolehkan undi pos dilaksanakan kembali dan pengundian awal tidak lagi diguna pakai.
“Yang dulunya penambahbaikan apa cerita? Apakah jawapan atau rasionalnya?,” soalnya.
Pada 23 Oktober 2017, SPR telah meluluskan permohonan pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang berkhidmat semasa PRU-14 akan datang untuk membuang undi melalui pos. -MalaysiaGazette