BANGI – Dasar One Belt, One Road (OBOR) oleh China dapat dirumuskan sebagai salah satu strategi agresif bekas negara komunis itu untuk menguasai dan sumber alam dari seluruh dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif IRIS Institute, Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim berkata, hal itu boleh diperhatikan melalui pelbagai projek-projek pelaburan China yang telah, sedang dan akan berjalan di seluruh dunia ketika ini.
Justeru jelas beliau, perhatian yang sewajarnya harus diberikan kepada projek-projek OBOR di negara ini.
“Malaysia menerima hakikat bahawa sebagai sebuah negara dan kita tidak boleh mengabaikan tekanan dan percaturan politik di peringkat antarabangsa.
“Namun menjadi suatu prinsip untuk memastikan polisi-polisi kita tidak mengorbankan kepentingan nasional yang didasarkan kepada kepentingan umum bagi masyarakat.
“Saya kira ini sangat penting demi memastikan nilai-nilai kita serta kedaulatan kita di rantau ini tidak tergadai. Jika kedatangan China digarap sebagai sebuah peluang ekonomi semata-mata tanpa benar-benar memahami dan mengambil berat soal seperti kedaulatan dan keselamatan, ini adalah satu pendirian yang merbahaya kepada kepentingan umum,” katanya
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran buku PenChinaan Malaysia: Tergadaikah Tanah Kedaulatan Bangsa oleh Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia, Abd. Rahman Md Dali di sini hari ini.
Buku tersebut diterbitkan oleh IRIS Institute atau nama penuhnya, Interdisciplinary Research & International Strategy yang merupakan sebuah pusat kajian bebas yang ditubuhkan sejak tiga tahun lalu.
Mengulas lanjut, Syed Ahmad Israa’ berkata, buku itu dihasilkan dengan menyedari kebanyakan perkara yang berlaku berkait dengan China khususnya di Malaysia rata-ratanya tidak bersifat transparen.
Namun melalui fakta dan maklumat yang didapati, IRIS Institute menganggap terdapat naratif yang lebih tepat dan komprehensif dalam menilai kedatangan China ke tanah air ini.
“Naratif ini kami susunkan tanpa terhad kepada sudut-sudut tertentu seperti sudut ekonomi sahaja misalnya dan tanpa pengaruh daripada permainan sentimen politik kepartian di tanah air kita.
“Saya kira naratif yang cuba kami kemukakan ini memberi satu pandangan baru kepada para pembaca untuk menilai fenomena kebangkitan China di peringkat antarabangsa dan khususnya di tanah air kita dari sudut yang lebih menitikberatkan kepentingan umum atau nasional berbanding kepentingan pihak tertentu,” katanya.
Buku PenChinaan Malaysia: Tergadaikah Tanah Kedaulatan Bangsa kini dijual di pasaran pada harga RM45. – MalaysiaGazette