KUALA LUMPUR – Sebahagian besar calon Pemuda Barisan Nasional (BN) yang telah diserahkan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak adalah muka-muka baharu.
Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ianya selaras dengan hasrat yang disuarakannya sebelum ini agar calon pemuda pada pilihan raya kali ini tidak dikurangkan.
“Saya sudah hantar senarai calon kepada Perdana Menteri dan saya harap sebahagian besar akan diterima. Sebahagian besar muka baharu ada ada seorang dua yang penyandang tetapi sebahagian besar adalah mereka yang belum pernah jadi wakil rakyat ataupun belum pernah bertanding.
Calon Pemuda saya harap tidak kurang daripada pilihan raya yang lepas,” katanya yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO. media.
Beliau terdahulu mempengerusi Mesyuarat Exco Pemuda UMNO di PWTC hari ini dan memaklumkan membincangkan persiapan terakhir sebelum pilihan raya yang digambarkannya akan berlangsung hanya beberapa minggu sahaja lagi.
“Tujuan kita bermesyuarat adalah persiapan terakhir sebelum pilihan raya. Pilihan raya kita jangkakan akan diadakan dalam tempoh masa yang terdekat, berbaki hanya beberapa minggu lagi jadi ada beberapa perkara yang telahpun kta bincang dari aspek penyusunan jentera.
“Persiapan jentera saya boleh rumuskan bahawa Pemuda dan jentera Pemuda UMNO berada di tahap 100 peratus dan kita telah bincang secara teliti tugas-tugas dan beberapa perkara pentadbiran yang perlu diselesaikan sebelum pilihan raya,” tambah Khairy yang turut yakin kesediaan Pemuda BN pada tahap sepenuhnya.
Beliau dalam masa yang sama memaklumkan pelancaran jentera Pemuda dan Puteri parti itu peringkat nasional akan dilancarkan pada 10 Mac di Institut Kemahiran Belia Negara Pagoh.
“Ini merupakan pelancaran secara rasmi untuk peringkat yang terakhir sebelum Parlimen dibubarkan walaupun jentera kita sudah pun bergerak daripada awal lagi tetapi ini adalah secara rasmi dan simboliknya gerakan ke arah fasa yang akhir untuk kita menghadapi pilihan raya umum yang akan datang,”ujar Khairy.-MalaysiaGazette