Shahrir Samad

KUALA LUMPUR- Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengesahkan kesemua 16 lot tanah di Jalan Semarak telah berjaya dipindah milik dan didaftarkan semula ke atas nama agensi tersebut.

Tanah-Tanah yang sebelum ini menjadi kontroversi kerana dipindah milik kepada pemaju utama projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) melalui empat perjanjian jual beli (SPA) itu akhirnya kembali ke tangan Felda susulan pemeteraian memorandum persefahaman di antara Felda dengan Synergy Promenade Sdn. Bhd. (SPSB).

Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad berkata, 14 lot tanah itu didaftarkan pada 2 Mac lalu manakala baki dua lagi selesai didaftarkan semalam tanpa sebarang kos.

Ini juga bermakna kaveat persendirian dan kaveat pendaftar yang dikenakan ke atas kesemua lot tanah tersebut juga telah dibatalkan.

“Pada mulanya, kita mengambil tindakan untuk ambil kaveat persendirian tetapi tidak dibenarkan cuma apabila ada campur tangan daripada Ketua Setiausaha Negara kita berjaya letak kaveat persendirian pada bulan april 2017.

“Kemudian setelah membuat laporan polis barulah kami dibenarkan untuk meletakkan kaveat pendaftar.

“Ini tindakan biasa kerana apabila bila kita atau sesiapa sahaja membuat laporan polis terhadap soal tanah, polislah yang akan meletakkan kaveat pendaftar supaya tanah ini tidak boleh diurus oleh sesiapa.

“Kaveat pendaftar itu telah diangkat pada Februari lalu untuk membolehkan kita mendaftar semula tanah-tanah tersebut ke atas nama Felda tetapi sebelum kita proses pendaftaran dibuat, kita juga turut mengangkat kaveat persendirian.

“Maknanya proses ini dilakukan secara serentak,” katanya sambil menunjukkan 16 geran tanah tersebut di hadapan media sebagai bukti ianya telah kembali semula ke tangan Felda.

Tambah Shahrir, langkah seterusnya adalah membuat pernilaian semula terhadap nilai sebenar tanah-tanah tersebut dan Lembaga Penilai, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah Malaysia dilantik sebagai penilai.

“Tanah-tanah ini ada pelbagai nilai, kalau ikut SPA lain, macam-macamlah jadi kita mahu membuat pernilaian semula dan agensi kerajaan iaitu LPPH telah dipilih,” katanya lagi.

Menurut Shahrir, projek KLVC akan diteruskan dan dalam masa yang sama Jawatankuasa Khas Rundingan yang telah dilantik pada 8 Februari lalu akan memulakan rundingan dengan syarikat pemaju untuk penambahbaikan terma dan syarat Perjanjian Pembangunan tanah-tanah berkenaan.

Menyentuh mengenai laporan polis yang telah dibuat Felda, Shahrir berkata, siasatan masih dijalankan dan beberapa individu telah dipanggil untuk memberi keterangan namun tiada sebarang butiran lanjut didedahkan oleh Pengerusi Felda itu.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast