Pergerakan Belia India Muslim Malaysia mengecam dan menggesa rusuhan kaum dan penindasan etnik India Muslim di Sri Lanka dihentikan.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Belia India Muslim Malaysia (Gepima) mengecam penindasan yang dilakukan ke atas etnik minoriti Muslim di Sri Lanka.

Pengasas dan Penasihat Gepima, Mohamed Kathir Ali berkata, kemalangan melibatkan dua individu di negara itu telah mencetuskan rusuhan kaum sehingga mewujudkan ketakutan dalam kalangan masyarakat Muslim di sana.

Beliau yang juga Mediator Komuniti Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional berkata, kerajaan Sri Lanka perlu menghentikan penindasan ke atas etnik monoriti itu dengan segera bagi mengelak lebih banyak nyawa tak berdosa menjadi mangsa.

“Kami telah menerima pelbagai berita berkaitan rusuhan yang tercetus itu, antaranya ada insiden membakar perkampungan etnik Muslim dan sebagainya.

“Ia mencetuskan ketegangan dan keadaan bertambah buruk kerana kebanyakan pekerja asing yang ada di Malaysia mula bimbang tentang keselamatan ahli keluarga mereka di sana,” katanya pada sidang media di ibu negara hari ini.

Hadir pada sidang media Timbalan Presiden Kongres India Muslim Semalaysia (KIMMA) Harisrajudin Alaudin, Persakutuan Pertubuhan India Muslim Semalaysia dan Inspirasi Muhibah India Muslim (IMIM), Persatuan Jalinan Mesra India Muslim, Persatuan Badan Kebajikan dan Pemandu Teksi India Muslim dan Pengarah Kesatuan Kebangsaan Cylone (Sri Lanka) Muslim, Ahmed Nihal.

Beliau berkata, pihaknya akan cuba mendapatkan Kongres Muslim Sri Lanka untuk menyusun kaedah dalam bentuk nasihat bagi menghentikan rusuhan dan melindungi etnik minoriti di negara itu.

“Kami juga akan meminta kerjaan Malaysia menerusi Kementerian Luar menggesa Organisasi Islam Antarabangsa untuk memberi tekanan kepada Sri Lanka untuk segera menghentikan rusuhan itu.

“Kita tidak mahu sebarang penindasan ke atas rakyat Sri Lanka termasuk Tamil dan Muslim yang kini menjadi mangsa keadaan sehingga kehidupan harian dan keselamatan mereka tergugat,” jelasnya.

Mohamed Kathir berkata, pihaknya akan menyampaikan mesej bantahan terhadap rusuhan kaum yang sedang berlaku di Sri Lanka menerusi perhimpunan aman di Masjid India hari ini.

“Kita bukan sahaja mengambil berat dan bersuara untuk kemanusiaan rakyat Islam di Syria, tetapi juga di Sri Lanka,” jelas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast