KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang India merangkap Presiden Parti Kongres India, Rahul Gandhi dalam lawatan sehari ke Malaysia tidak dapat menyembunyikan rasa teruja melihat kerharmonian ‘luar biasa’ masyarakat majmuk selain daripada kemajuan infrastruktur negara ini.

Ketika menyampaikan ucaptama  pada Pertemuan Belia India Malaysia (iYCON) beliau tidak berhenti-henti memuji keunikan, kemajuan dan kestabilan Malaysia.

“Saya amat teruja dan kagum melihat negara ini, banyak perkara yang kami di India boleh belajar dari Malaysia dan rakyatnya yang hidup berbilang kaum.

“Kemajuan infrastruktur terutamanya jalan raya perlu di adaptasi oleh kami di India, saya kagum melihat jalan raya dan sistemnya. Begitu juga dengan permodenan dan kemajuan industri pertanian.

“Seperti anda semua maklum, pertanian adalah antara ekonomi utama bagi kami di India, saya sudah melihat kita mengadakan hubungan kerjasama yang erat pada masa hadapan dengan Malaysia,” ujarnya.

Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira hampir 500 orang yang hadir ke majlis di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Berkembar Bank Rakyat tengahari tadi.

Kehadiran Rahul yang juga merupakan cicit kepada perdana menteri pertama India, Jawaharlal Nehru telah dianjurkan oleh iYCON bersama-sama dengan Bendahari Agung MIC, Datuk Seri S. Vell Paari.

Rahul kemudian mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin MIC di Ibu Pejabat MIC dan berbangga apabila  diberitahu bekas Presiden Parti Kongres India, Subash Chandra Bose yang merupakan ikon kemerdekaan pernah menjejak kaki ke bangunan keramat MIC di Jalan Rahmat itu.

“Saya rasa sangat bangga dengan sejarah ini, saya gembira untuk menjejak kaki ke bangunan ini,” ujarnya.

Rahul juga dijadual mengadakan perjumpaan tertutup dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Seri Perdana sebelum pulang ke New Delhi petang ini.

Beliau yang merupakan anak kepada bekas Presiden Parti Kongres India, Sonia Gandhi telah mengambil tampuk pemerintahan sejak Disember lepas  dilihat agresif dalam membina hubungan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk luar negara.

Parti Kongres yang kini berusia 133 tahun itu sebelum ini berada di barisan hadapan memperjuangkan kemerdekaan India dan turut menguasai tampuk pemerintahan negara itu untuk sebahagian besar  tempoh 70 tahun sejak bebas daripada penjajahan.-MalaysiaGazette