KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Selangor di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berisiko berhadapan tindakan undang-undang kerana didakwa memulaukan Pusat Konvensyen Ideal (IDCC).

Penasihat dan Pengarah IDCC, Lee Aik Chong berkata, semenjak bangunan ini siap pada hujung 2014 sehingga kini tidak pernah menerima sebarang sewaan daripada kerajaan negeri itu untuk membuat program di premis tersebut.

“Sejak bangunan ini siap hujung tahun 2014 sehingga kini kami tidak pernah mendapat sewaan daripada kerajaan negeri sehingga kini.

“Sebelum ini Kasmuncak Holding Sdn. Bhd., syarikat yang memiliki IDCC memfailkan saman Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada April 2016

“Kerajaan negeri hanya menguarkan tentang pemerintahan yang baik tapi kami tidak dilayan dengan baik, buktikan kami disabotaj ,” katanya kepada pemberita pada sidang media di bangunan itu hari ini.

Pihak IDCC kemudiannya jelas Lee mendapat maklumat bahawa kerajaan negeri mengeluarkan memo kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk tidak mengadakan sebarang program di situ pada Jun 2016 tanpa penjelasan yang munasabah.

Tindakan itu dilihat sebagai sabotaj kerajaan negeri Selangor terhadap IDCC.

Tambah beliau, ia juga mengakibatkan lebih 100 pekerja terjejas akibat pendapatan yang semakin berkurangan.

“Seramai 120 pekerja yang terjejas sebab kami sudah tidak pernah menerima apa-apa sewaan jadi tiadalah pendapatan sangat.

“Kami menuntut permohonan maaf daripada kerajaan negeri Selangor dan menarik balik arahan itu sebelum kami mengambil tindakan undang-undang 14 hari bermula hari ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette