KUALA LUMPUR – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd pernah ditangguh pengesahan kenaikan pangkatnya sebagai Komisioner Polis (CP) pada 2016 berhubung wang AUD$320,000 (RM971,483) yang didepositkan ke akaun bank miliknya di Australia.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata penangguhan pengesahan pangkat itu dibuat bagi membolehkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman menyiasat dari semua sudut berhubung kes berkenaan.
“Wan Ahmad Najmuddin telah ditahan (ditangguh) pengesahan pangkat untuk beberapa tempoh pada 2016 sehingga pihak JIPS selesai memperincikan siasatan berkenaan pada tahun yang sama.
“Hasil siasatan, mendapati proses jual beli rumah berkenaan mempunyai hitam putih dan melalui urusan undang-undang yang sah kemudian barulah beliau disahkan kenaikan pangkat itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis di sini, hari ini.
Pada majlis itu seramai 21 pegawai kanan dinaikkan pangkat antaranya Pesuruhjaya Sarawak Datuk Azman Yusof yang dinaikkan pangkat dari Deputi Komisioner Polis (DCP) ke CP.-BERNAMA