Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (tengah) sambil diiringi Pengerusi SPNB, Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad (dua kanan) kelihatan ceria ketika bergambar bersama dengan sebahagian wakil- wakil Institusi Kewangan, SPNB dan SJKP pada Majlis Menandatangani MoU antara SPNB-SJKP dan Bank di Ballroom 2, Tamu Hotel & Suite, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 MAC 2018

KUALA LUMPUR- Kerajaan tidak bimbang mengenai contingent liability (kebarangkalian berlakunya komitmen hutang berkaitan pinjaman yang dijamin kerajaan) apabila memberi jaminan kepada pembeli rumah yang tidak berkemampuan dan tidak mempunyai bukti sokongan kewangan  mencukupi.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, dalam urusan berkenaan, tidak timbul isu contingent liability kerana tindakan kerajaan membantu rakyat memiliki rumah adalah satu langkah yang akan memberi hasil positif dalam jangka masa panjang.

“Menambah contingent liability untuk rakyat bukan satu masalah kerana walaupun terdapat kemungkinan berlakunya penambahan bebanan hutang, kita lakukan ini untuk rakyat.

“Lagipun ia (pemilikan kediaman) boleh merangsang ekonomi dan dalam masa sama rakyat boleh hidup di dalam rumah yang selesa dan anak-anak mereka mempunyai tempat tinggal yang selamat.

“Jadi, dalam jang masa yang panjang, kerajaan juga yang akan mendapat manfaatnya,” katanya ketika ditanya mengenai kemungkinan berlakunya peningkatan liabiliti kepada kerajaan apabila memberi jaminan kepada pembeli rumah yang tidak kekurangan dokumen bukti pendapatan untuk mendapatkan pembiayaan perumahan daripada bank-bank komersial.

Program tersebut adalah hasil pemeteraian memorandum persefahaman di antara anak syarikat Kementerian Kewangan Diperbadankan, Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dengan Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB) dan institusi-institusi kewangan tempatan.

Tambah Johari, isu contingent liability juga tidak patut timbul kerana harga rumah tidak pernah merosot sebaliknya semakin naik setiap tahun.

Maka, kerajaan sebagai penjamin dan institusi kewangan sebagai pemberi pinjaman memiliki satu cagaran yang kukuh sekiranya berlaku sebarang masalah kepada pembeli, katanya.

Sebelum ini terdapat artikel yang menyebut Malaysia mempunyai masalah besar dengan hutang termasuk contingent liabilities yang semakin melonjak apabila nisbah hutang sektor awam dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) secara keseluruhannya meningkat kepada 68 peratus.

Hutang kerajaan persekutuan (tidak termasuk hutang yang dijamin kerajaan) meningkat secara purata sebanyak 10 peratus setahun daripada RM266.7 bilion pada 2007 kepada RM681.5 bilion pada 2017.-MalaysiaGazette