Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diiringi Panglima Tentera Udara, Tan Sri Affendi Buang (dua kanan), Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan (kiri) dan Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin (kanan) menyempurnakan gimik perasmian pada Majlis Perasmian Pangkalan Udara Sendayan, Negeri Sembilan. foto IQBAL BASRI, 16 MAC 2018.

SEREMBAN – Dilengkapi fasiliti, kemudahan moden dan bersesuaian dengan keperluan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) antara kelebihan yang ditawarkan Pangkalan Udara (PU) Sendayan di Seremban.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Pangkalan Udara (PU) Kuala Lumpur sudah tidak dapat menampung kesiapsiagaan anggota tentera dan pelaksanaan PU Sendayan adalah pilihan tepat kerajaan dalam memastikan isu keselamatan penerbangan negara dijamin.

“Kuala Lumpur sudah berubah dengan bangunan pencakar langit. Sehingga soal keselamatan penerbangan kita utamakan. Pangkalan Udara Kuala Lumpur sudah tidak sesuai lagi.

“Bila berpindah ke Pangkalan Udara Sendayan ini bukan sahaja melihat kepada pemindahan fizikal sahaja tetapi berpindah kepada pangkalan yang canggih, moden dan selesa,” katanya dalam ucapan perasmian PU Sendayan.

Najib berkata demikian selepas merasmikan Pangkalan Udara Sendayan (PU Sendayan) yang menempatkan markas dan pasukan yang beroperasi di PU Kuala Lumpur sebelum ini.

Hadir sama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed, dan Panglima Tentera Udara (PTU), Jeneral Tan Sri Affendi Buang serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan.

Malah Najib berkata. PU Sendayan telah mengalami bukan satu tetapi tiga transformasi.

Antaranya tranformasi dari kawasan tanaman kelapa sawit kepada bandar satelit bagi Kuala Lumpur dan Lembah Kelang.

“Kedua transformasi kepada TUDM sendiri. Kita tetap kenang Pangkalan Udara Kuala Lumpur sebagai pusat dan pangkalan udara pertama TUDM.

“Ia turut menyaksikan pelbagai acara bersejarah terutamanya upacara mencapai kemerdekaan memerangi ancaman komunis. Sudah tentu PU KL sarat dengan kisah yang cukup bermakna dalam konteks sejarah kita,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Najib berkata, PU Sendayan boleh dianggap sebagai pembuka laluan kepada Bandar Malaysia yang direncanakan oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Apabila kita boleh gunakan Bandar Malaysia yang berkeluasan 500 ekar untuk dijadikan sebagai pembangunan ikonik untuk Malaysia. Malah projek keretapi laju akan jadi kenyataan dalam masa terdekat,” katanya lagi.

PU Sendayan menempatkan Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan Udara (MPPLU) yang sejajar dengan Pelan Transformasi Air Force Next Generation (AFNG).

Pangkalan itu  menempa sejarahnya sendiri menjadi pusat latihan terbesar dan utama TUDM, ia dibina diatas tapak seluas 750 ekar, termasuk 693 unit pelbagai kelas perumahan bagi anggota. -MalaysiaGazette.