Peguam, Muhammad Nur Hafiz Roslan (kiri) bersama peguamnya, Faizal Rahman (kanan) bercakap pada Sidang Media berhubung kes yang telah diperas ugut oleh sekumpulan gengster yang disyaki di upah oleh seseorang. foto SYAFIQ AMBAK, 17 MAC 2018.

KUALA LUMPUR – Gara-gara kononnya mendapat ancaman ‘serangan’ gengster, satu sidang media yang sepatutnya diadakan di sebuah apartmen servis di Jalan Perak di sini terpaksa bertukar lokasi ke sebuah restoran saat-saat akhir.

Beberapa wartawan daripada agensi media yang sebelum itu menunggu di aparment berkenaan ‘dibawa’ oleh pihak penganjur ke sebuah restoran di Jalan Imbi menaiki Toyota Velfire.

Sidang media yang sepatutnya berlangsung pukul 3 terpaksa ditunda ke pukul 4.30 petang gara-gara insiden tersebut.

Penganjur kemudiannya memaklumkan kepada wakil media ada dua individu tidak dikenali memperkenalkan diri dan dihantar oleh bosnya untuk hadir sidang media yang sama dengan mendakwa bertugas di sebuah syarikat televisyen berbayar.

Bagaimanapun, penganjur yang curiga dengan sikap kedua -dua individu terbabit tidak melayan mereka setelah dua lelaki itu tidak mahu menunjukkan kad identiti sebagai petugas media.

Mereka bimbang kedua-dua lelaki tersebut akan ‘menganggu’ sidang media yang sama.

Sidang media itu diadakan bagi mendedahkan dakwaan ancaman yang diterima oleh seorang peguam yang juga pemilik butik apabila terpaksa hidup dalam ketakutan setelah menerima ugutan daripada sekumpulan gangster yang didakwa diupah pemilik sebuah gedung pakaian terkenal untuk tujuan menuntut hutang.

Muhammad Nur Hafiz Roslan, 33, mengakui mempunyai baki hutang berjumlah RM220,000 dengan gedung pakaian berkenaan menerusi usahasama yang dijalankan sebelum itu.

Bagaimanapun, menurutnya, cara tuntutan yang dibuat pihak berkenaan membuatka keselamatan dirinya, keluarga serta kakitangan pejabat guamannya terancam.

Muhammad Nur Hafiz Roslan (kiri) bersama peguamnya, Faizal Rahman

“Anak saya sampai menangis dan trauma. Staf saya baik orangnya bakal peguam syarie digertak hingga mengalirkan air mata.

“Saya pernah cuba berbincang dengannya (pemilik gudang pakaian) tapi perbuatan ini sudah melampau,” dakwanya lagi.

“Nilai hutang itu adalah nilai kain yang saya ambil dari gedung itu pada tahun 2016. Pihak kakitangan syarikat gedung itu ada menghubungi saya nyatakan jumlah namun, saya dapati ia melebihi baki yang sepatutnya membuatkan saya menuntut dokumen-dokumen berkaitan.

“Namun selepas itu tanpa sebarang tuntutan secara rasmi, saya dihubungi pihak gangster berkenaan untuk berjumpa di ibu pejabat gedung itu pada 19 Januari lalu.

“Di situ saya ditahan selama beberapa jam dan diugut agar membuat bayaran. Pemilik gedung turut ada bersama dan mengarahkan segala urusan hutang hanya dengan pihak yang telah dilantik olehnya itu.

“Tuntutan bayaran diminta dibuat dalam tempoh dua bulan dan saya telah membayar separuh daripada nilai itu dalam tempoh kurang dua minggu. Namun kumpulan yang diupah ini terus membuat ugutan kepada saya menyebabkan saya rasa tidak selamat,” katanya.

Muhammad Nur Hafiz menambah, lebih teruk lagi apabila dia turut diperas ugut membayar sejumlah wang kepada pihak orang tengah itu menyebabkan dia rasa teraniaya.

“Gengster itu minta bayaran RM15,000 untuk dia bincang bersama pemilik gedung menangguhkan tempoh bayaran. Saya beri tapi mereka terus mengganggu saya, datang ke pejabat ketika anak saya ada, membuat bising, gegar pagar dan pintu dan menjerit-jerit.

“Pada saya, ini tidak betul. Walaupun saya berhutang, ini bukan cara untuk menuntut bayaran.

“Saya bekerjasama dengan syarikat gedung ini sejak tahun 2010. Pada tahun 2016, perniagaan saya tidak berjaya menyebabkan berlaku penangguhan bayaran baki hutang. Sejak itu juga saya ada maklumkan dengan pihak gedung itu agar faham dengan situasi saya,” ujarnya.

Sebagai pengamal undang-undang pun dia diugut seperti itu menyebabkan diri bimbang keselamatan keluarga dan kakitangannya.

Ujar Muhamad Nur Hafiz, dua laporan polis dibuat berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam manakala satu laporan lagi dibuat di IPD Dang Wangi.

Sementara itu, peguam yang mewakili Muhammad Nur Hafiz, Faizal Rahman berkata, apa yang berlaku terhadap anak guamnya adalah melibatkan urus niaga kain yang sebenarnya boleh diselesaikan secara sivil.

Katanya, pihak syarikat terbabit boleh mengambil tindakan tersebut sekiranya Muhammad Nur Hafiz cuba melarikan diri.

“Tapi apa yang kita difahamkan ada bayaran dibuat. Ini satu perkara yang tidak munasabah.

“Bila dia (Muhammad Nur Hafiz) ditekan dengan cara menggunakan gangsterism ia tidak akan menyelesaikan masalah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast