KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang dalam proses menjalankan beberapa kajian tertentu bagi mencari mekanisma untuk melaksanakan cukai terhadap iklan di Google dan Facebook.
Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani, kerajaan sedang mencari jalan terbaik dalam memastikan keperluan terhadap pelaksanaan cukai berkenaan.
“Kajian ini adalah untuk menentukan samada terdapat keperluan untuk mengadakan cukai tersebut.
“Langkah untuk memaksimumkan penggunaan cukai yang terbaik yang boleh digunakan dan impak daripada kajian tersebut,” katanya dalam sesi penggulungan titah Yang Dipertuan Agung, Sultan Muhammad V, dibawah Kementerian Kewangan hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan untuk mengenakan cukai itu akan diserahkan kepada Kabinet.
Cukai itu pertama kalinya dibangkitkan pada sesi dialog Majlis Makan Tengahari beliau bersama Ketua Pengarang dan Pemegang Permit Penerbitan pada Selasa lalu.
Langkah itu difikirkan wajar dengan mengambil kira perolehan yang dijana syarikat itu menerusi platform pengiklanan digital di negara ini.
Dalam pada itu, Johari berkata kerajaan juga sedang memantau kajian terhadap rangkaian perniagaan dalam talian bagi memastikan pelaksanaan cukai itu berkesan.
“Kerajaan juga memantau dengan teliti keatas kajian rangkaian perniagaan dalam talian yang sedang dibuat oleh pihak Open Organization For Economic Corporation and Development berhubung pengenalan sistem cukai bagi ekonomi digital dan hasil-hasil yang lain,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.