Home Politik Pengundi DUN Tioman tolak Johari Hussain?

Pengundi DUN Tioman tolak Johari Hussain?

Mohd Johari Hussain

KUALA LUMPUR – Veteran UMNO Rompin mendakwa Ahli Dewan Undangan Tioman, Datuk Seri Mohd Johari Hussain gagal melaksanakan peranan dan tanggungjawabnya sepanjang 10 tahun lalu.

Lantaran itu, Presiden Veteran UMNO Rompin, Datuk Abd Rahim Ibrahim mengancam untuk menolak mengundi Mohd Johari sekiranya beliau dikekalkan sebagai calon Barisan Nasional.

Menurut beliau, ADUN Tioman itu gagal berfungsi sebagai wakil rakyat secara keseluruhannya sepanjang memegang jawatan itu sejak 2008.

“Selama puluhan tahun penglibatan saya dalam arena politik Rompin, terutama di DUN Tioman, kali pertama parti ini melahirkan wakil rakyat yang gagal memainkan peranan yang sepatutnya. Beliau hanya ’timbul’ ketika musim Pilihan Raya sahaja.

“Contohnya, hari ini ketika PRU Ke-14 yang semakin hampir maka, setiap harilah kita akan melihat pelbagai berita beliau melawat kawasan, memberi sumbangan di sana-sini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sepanjang dua penggal ‘mewakili’ rakyat DUN Tioman, Mohd Johari didakwa gagal membawa sebarang kemajuan atau perubahan sehinggakan ramai dalam kalangan anak muda mengambil keputusan untuk keluar daripada kawasan tersebut.

“Tanah Industri yang dimiliki oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang langsung tidak dibangunkan. Tiada industri untuk orang tempatan, sebaliknya hanya perusahaan burung walit yang tidak membawa sebarang manfaat kepada masyarakat tempatan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Abd Rahim berkata, BN tidak boleh lagi ada pemimpin seperti ini terutamanya menjelang PRU14.

“Sekiranya pucuk pimpinan terus meletakkan Datuk Seri Mohd Johari Hussain sebagai calon DUN Tioman kali ini, jangan hairan sekiranya UMNO boleh kalah di kawasan ini,” tegasnya.

Mohd Johari memenangi kerusi DUN Tioman pada PRU-13 lalu dengan majoriti 4,086 undi mengatasi calon Pas, Mohd Fadzli Mohd Ramly dan Mohd Zolfakar Taib sebagai calon Bebas. -MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast