Berdasarkan laporan jam 7 pagi tadi, bekalan air sudah kembali operasi.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebarang kenyataan dibuat oleh kerajaan persekutuan dan Selangor berhubung bekalan air baru-baru ini bukan merujuk kepada perangkaan terkini, sebaliknya diambil daripada tahun 2016.

Presiden Persatuan Air Malaysia (MWA), Datuk Ir Abdul Kadir Mohd Din berkata, Panduan Industri Air Malaysia (MWIG) edisi terkini iaitu MWIG2017 yang diterbitkan pada pertengahan tahun lalu hanya mengandungi perincian dari tahun 2016 dan bukan seperti dinyatakan sebelum ini.

Menurut beliau, kenyataan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) serta kerajaan negeri Selangor yang merujuk perangkaan tahun 2017 adalah tidak tepat.

“Rujukan pada helaian 21 MWIG2017 oleh kerajaan negeri Selangor seperti yang dinyatakan dalam siaran berita bertarikh 17 Mac 2018 menyentuh mengenai margin simpanan, seperti dibangkitkan Pengarah Komunikasi Strategik Selangor.

“Dalam siaran media itu, beliau membangkitkan perbezaan antara kenyataan dibuat oleh Ketua Setiausaha KeTTHA dengan nota kaki di helaian 21 yang membabitkan peratusan 2.2 peratus dan 4.4 peratus untuk tahun 2015 serta 2016,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut Ir Abdul Kadir berkata, MWIG mengguna pakai Kapasiti Rekaan Rawatan Air (WTDC) sebagai asas untuk pengiraan margin simpanan air yang akan memberikan perbandingan lebih adil dan menyeluruh.

“Perlu dijelaskan di sini bahawa margin yang dirujuk dalam MWIG adalah hanya untuk bekalan air terawat dan bukan sumber bekalan air mentah.

“Dalam hal ini, jumlah keseluruhan WTDC Selangor untuk tahun 2016 ialah 4,606 juta liter setiap hari (MLD) manakala Anggaran Pengeluaran Harian atau permintaan semasa ialah 4,807 MLD. Jika dibandingkan dengan WTDC, Selangor memiliki 0 peratus margin simpanan untuk tahun berkenaan,” tegasnya.

Selangor bagaimanapun jelas Ir Abdul Kadir, diberi sedikit keistimewaan kerana margin simpanan negeri itu turut dikira menggunakan kaedah Kapasiti Pengedaran Keseluruhan bagi membantu menjelaskan beberapa perkara.

“Ia termasuk untuk menjelaskan, mengapa Selangor masih memiliki air walaupun negeri itu tidak memiliki margin simpanan sama sekali. Bekalan air masih ada hasil projek mitigasi oleh kerajaan persekutuan,” katanya. – MalaysiaGazette