Naib Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan, Datuk Mutalif Abdul Rahim bercakap pada Majlis Malam Mesra Media di Syed Bistro, Petaling Jaya, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 23 MAC 2018.
PETALING JAYA – Naib Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim yakin beliau akan terpilih menjadi calon Barisan Nasional untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Medan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Bagaimanapun katanya, pemilihan calon adalah hak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya, selain beliau, dua lagi calon disenarai pendek untuk kawasan tersebut ialah  Pemangku Ketua UMNO Bahagian PJS, Jamaludin Razali dan  Ketua Pemuda UMNO Bahagian PJS, Ridzuan Mahidin.
“Kami dimaklumkan untuk turun bekerja di kawasan Kampung Medan dan itulah yang kami sedang lakukan bersungguh-sungguh dengan bertemu rakyat dan menyelesaikan permasalahan mereka.
“Tetapi hanya salah seorang daripada tiga individu ini mungkin akan tercalon dengan mandat PM,” katanya kepada pemberita pada Majlis Mesra Bersama Media di sini hari ini.
Beliau yang juga adik kepada Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, sumbangannya sebagai anak Kampung Medan (dahulu dikenali sebagai Kampung Ghandi) dapat mendekatkan beliau dengan pengundi di situ.
Menurutnya, 70 peratus pengundi di kawasan itu adalah Melayu diikuti India (20 peratus) dan Cina (10 peratus).
“Saya membesar dengan suasana serba kekurangan dengan kasih sayang keluarga dan penduduk asal kampung di sini.
“Sehingga kini saya masih dikenali dan diterima semua khususnya masyarakat India yang lagi rapat dengan saya, mereka kenal sumbangan selama ini.
“Jika Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim adalah jadi hero ‘Padaiyappa’ di Parlimen Baling, saya boleh main peranan hero ‘Baasha’ untuk membela nasib masyarakat setempat di sini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast