PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung penyebaran video fitnah projek MyKiosk@KPKT.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, pihaknya menerusi Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) telah diarahkan untuk mengesan TikToker dan mereka yang didakwa menyebarkan berita palsu berhubung isu tersebut di media sosial.
“Kita akan membuat laporan kepada SKMM di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 (Akta 588) dalam masa terdekat.
“Saya juga akan menjemput Tan Sri Azam Baki (Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM) datang ke pejabat untuk minum teh.
“Langkah ini bagi membolehkan individu atau TikToker yang membuat berita fitnah dikenakan tindakan undang-undang terhadap dakwaan projek MyKiosk,” katanya pada pemberita, hari ini.
Beliau bekata demikian pada sidang media selepas Majlis Pra – Pelancaran Anugerah Kecemerlangan Menteri (AKM) 2025 dan Anugerah Kecemerlangan Media (AKEMDIA) KPT 2025, di sini, hari ini.
Kor Ming menjelaskan, tender bagi projek MYKiosk@KPKT dibuat secara telus dan dikendalikan sepenuhnya 156 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.
“PBT akan memohon dan mengenal pasti lokasi strategik yang sesuai, mereka perlu membuat tender terbuka untuk kontrak bumiputera maka KPKT tidak terlibat langsung dalam pemilihan ini.
“PBT sudah melantik seramai 795 kontraktor, dan saya menafikan dakwaan kontraktor dalam projek MyKiosk adalah kroni saya, memang tidak masuk akal dengan jumlah ini” jelasnya.
Mengulas lanjut, Kor Ming juga menafikan KPKT menerima peruntukkan belanjawan sebanyak RM250 juta bagi projek pembinaan MyKiosk.
“Bagi fasa pertama MyKios 1.0, jumlah peruntukkan sebanyak RM50 juta manakala MyKios 2.0 adalah RM100 juta yang diserahkan kepada PBT untuk dilaksanakan.
“Untuk jumlah pengisian pula, MyKiosk 1.0 merekodkan sebanyak 2,798 unit kiosk bersamaan dengan 87.74 peratus dan Mykiosk 2.0 sebanyak 2,653 unit bersamaan dengan 65.44 peratus dengan jumlah penerima MyKiosk paling tinggi adalah di Johor iaitu sebanyak 1,185 kiosk,” katanya. – MalaysiaGazette
















