Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah

JIKA pilihan raya sebelum ini musuh tradisi Barisan Nasional (BN) di Kedah adalah Pas.

Kali iniĀ  berbeza kerana BN akan berdepan musuh baharu yang mana ketuanya dahulu pernah mentadbir kerajaan dan Presiden UMNO selama 22 tahun.

Tun Dr. Mahathir Mohamad dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga bekas Menteri Besar Kedah yang berpaling tadah bukan kecil anak impaknya kepada Negeri Jelapang Padi itu.

Mereka menyasarkan Kedah sebagai gelanggang utama mereka dalam misi menumbangkan BN.

Pertandingan tiga penjuru sudah pasti tidak dapat dielak, Pas bersama Gagasan Sejahtera memberi isyarat akan bertanding semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Pakatan Harapan (PH) juga dijangka meletak calon mereka di kerusi-kerusi yang secara tradisinya ditandingi Pas dan BN.

Berbeza kali ini, mampukah BN di Kedah berdepan lawan dengan Mahathir dan geng PH dan Mukhriz sebagai bekas menteri besar yang didakwa masih berpengaruh di negeri itu.

Kedah mempunyai 36 kerusi DUN dengan BN memegang 21 kerusi, 8 (PAS), 2 (DAP), 1 (PAN).

Negeri itu juga mempunyai 15 kerusi Parlimen, BN berkuasa di 10, PKR (4) dan PAS (1).

Bagaimanapun menurut Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Shahron Nizan Mohd. Zain ‘kehebatan’ dan aura individu tidak cukup kuat mempengaruhi pemilihan sesebuah kerajaan.

Shahron Nizan

Menurutnya, rakyat perlu melihat track recordĀ seseorang pemimpinĀ dan Menteri Besar (MB) Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah dilihat mempunyai rekod yang baik sepanjang perkhidmatannya.

Jelas Shahron, banyak program pembangunan dilaksanakan oleh Ahmad Bashah tidak meminggirkan golongan anak muda malahan beliau berjaya menyelesaikan isu-isu yang tertangguh pada zaman Mukhriz.

“Kedah sendiri Ahmad Bashah telah melakukan pelbagai inisiatif dan kemudahan untuk orang muda antaranya Program IMANs yang melatih golongan pelajar lepasan ijazah yang dijadikan angkat kepada exco kerajaan negeri untuk mempelajari selok belok pentadbiran sesebuah negeri supaya di masa hadapan mereka akan menjadi pentadbir dan pemimpin negeri yang sudah berpengalaman.

“Dalam bidang pendidikan usaha MB dalam menaik taraf Kolej Universiti Insaniah (KUIN) kepada Universiti penuh adalah demi generasi muda kini mudah untuk mendapatkan ilmu di negeri sendiri..

“Tidak seperti semasa Mukhriz yang menjadi MB dulu, tidak banyak yang difikirkan untuk golongan muda sebenarnya , tiada inisiatif seperti sekarang malah KUIN juga dirancang untuk dijual kerana tidak mampu membayar hutang yang dibuat oleh kerajaan PAS Kedah ssbelum itu,” kata beliau kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Shaiful Hazizy Zainol Abidin pula melihat lawan sebenar mereka adalah Pas dan bukan PH.

Shaiful Hazizy Zainol Abidin

Menurutnya, kekuatan jentera yang lebih strategik dimiliki oleh Pas sejak sekian lama di Kedah.

“Dahulu pertembungan sebenar BN di Kedah adalah Pas tak pernah (kerana) PKR dan DAP. Sebelum ini jentera Pakatan Rakyat banyak bergantung kepada Pas.

“Jadi, pilihan raya kali ini agak menarik bagaimana PH akan bergerak tanpa jentera mereka,” beliau dipetik berkata baru-baru ini.

Faktor kekuatan jentera tidak dinafikan akan menjadi penentu utama di Kedah, PH dilihat tempang tanpa Pas kerana kebergantungan mereka dalam dua pilihan raya umum kepada jentera ahli parti Pas.

Apa pun, jentera akar umbi BN di Kedah perlu diperkukuhkan khususnya dalam menyampaikan maklumat dan menangkis dakwaan pembangkang secara berfakta bagi mengekang pengaruh Mukhriz dan Mahathir.

Penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Salawati Mat Basir mencadangkan, BN perlu lebih proaktif dan agresif dalam menyalurkan maklumat mengenai jasa dan pembangunan yang dilaksanakan sepanjang pentadbiran Ahmad Bashah agar pengundi dapat membuat pertimbangan.

“Kena lihat apa sumbangan, dapat tak Ahmad Bashah kalah rekod dengan MB terdahulu? Beliau kena buktikan keupayaannya dan perlu tonjolkan trak rekod lebih baik berbanding Mukhriz.

“Semua ini penting jika Ahmad Bashah dan BN mahu mengekang pengaruh Mukhriz dan bapanya,” kata beliau.

Selain itu, Salawati berkata, Ahmad Bashah juga perlu menumpukan kepada kebajikan dan pembangunan rakyat kerana isu kemiskinan dan kos sara hidup penduduk di Kedah amat genting.

“Berbalik kepada strategi kempen, BN kena ada penambahbaikan tentang pembangunan kebajikan kebajikan rakyat… sebagai contoh isu harga getah dan isu kemiskinan yang membelenggu rakyat luar bandar di negeri tersebut,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast