SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang pernah mengkritiknya berkaitan krisis air pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berlangsung hari ini.
Kata Azmin, isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak layak dibandingkan dengan isu air di Selangor kerana ia melibatkan hutang negara yang akan memberi kesan kepada generasi akan datang.
“Keperihatinan atas perkara ini (hutang 1MDB) juga menjadi keperihatinan majoriti rakyat Malaysia, di mana kita tidak boleh remehkan hutang negara yang semakin membengkak sebab yang akan bayar hutang negara ini ialah anak cucu cicit dan generasi akan datang.
“Maka untuk bandingkan (isu 1MDB) dengan industri perkhidmatan air di Selangor, saya kira ia satu perbandingan yang tidak adil dan tidak wajar dizahirkan oleh seorang pemimpin tertinggi negara apatah lagi dibuat di dalam Dewan Rakyat,”katanya.
Azmin berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR- Kajang) yang meminta kerajaan mengulas kenyataan Perdana Menteri di Parlimen pada 12 Mac yang lalu bahawa isu air Selangor lebih kritikal daripada 1MDB. -MalaysiaGazette