Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif melawat ruang pameran pada Majlis Perasmian Mahkamah Sesyen Jenayah Anti-Pemerdagangan Orang di Mahkamah Klang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 28 MAC 2018.

KLANG- Malaysia kini secara rasminya mempunyai mahkamah khas bagi kes pemerdagangan orang.

Mahkamah Klang merupakan bandar pertama dalam negara mempunyai Mahkamah Sesyen Antipemerdagangan Orang (ATIP) yang dirasmikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Raus Sharif.

Katanya, Selangor menjadi negeri pertama yang mempunyai mahkamah itu kerana merekodkan kes tertinggi bagi jenayah pemerdagangan orang.

“Sebelum Akta Antipemerdagangan Orang 2007 berkuatkuasa Malaysia telah menggunakan pelbagai cara dan undang-undang untuk membanteras kesalahan bagi jenayah ini.

“Dan ini salah satu caranya (mengadakan mahkamah khas),” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Sehingga akhir tahun ini lima lagi mahkamah di Johor, Melaka, Kota Kinabalu, Perak dan Melaka.

Sementara itu, pada sidang media beliau berharap agar dengan adanya mahkamah khas untuk jenayah pemerdagangan orang, prestasi Malaysia dalam mempertingkatkan siasatan berhubung perkara tersebut dapat dipertingkatkan.

Raus juga mahu agensi penguatkuasaan dipertingkatkan agar masalah sindiket pemerdagangan orang dalam negara boleh diselesaikan.

“Itu yang kita usahakan ke tahap satu pula walaupun mewujudkan mahkamah bukanlah satu-satunya cara tetapi penguatkuasaan agensi juga perlu dipertingkatkan ,” ujarnya.

Setakat ini terdapat 12 kes melibatkan pemerdagangan orang yang didaftarkan di Mahkamah Klang dan kes yang pertama didakwa pada 12 Mac lalu.

Menerusi statistik tahun lalu terdapat 282 kes pemerdagangan orangdengan 147 sabitan. – MalaysiaGazette