KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang Akta Anti-Berita Tidak Benar 2018 jika diluluskan akan jadi raksasa yang bersifat diskriminasi, dakwa Dr Mujahid Yusuf Rawa (PAN) – Parti Buntar).
Beliau dalam masa yang sama seperti ahli Dewan Rakyat dalam kalangan pembangkang yang lain yakin bahawa kewujudan akta itu tidak akan menyelesaikan masalah penyebaran berita palsu dalam negara.
“Adakah dengan menggubal undang-undang ini akan menyelesaikan masalah atau menjadi raksasa yang lebih buruk di mana raksasa ini akan dilihat lebih bersifat diskriminasi dan gunakan kuasa oleh mereka yang berkuasa untuk menyekat suara-suara yang menegur penyalahgunaan kuasa rasuah yang berlaku dalam kerajaan kita,” katanya ketika membahaskan RUU Akta Anti Berita Tidak Benar 2018 di Dewan Rakyat hari ini.
Mujahid bagaimanapun tidak menolak kewujudan media sosial pada hari ini menjadi penyumbang kepada penularan berita palsu dalam negara.
“Kita tidak nafikan media sosial ada dua wajah ada satu memberikan peluang untuk kita mengekspresikan diri, memberikan pandangan dan dapat berkongsi pandangan.
“Satu segi lagi peluang yang ada di media sosial boleh jadi bertentangan boleh jadi yang merosakkan masyarakat, menimbulkan perkara yang palsu dan akhirnya yang palsu menjadi benar dan yang benar menjadi palsu itu satu yang tidak dapat dinafikan.
“Iya benar saya yakin saya terima kami semua terima bahawa media sosial ada dua wajah satu baik satu buruk,” tambahnya.
Namun beliau bimbang undang-undang yang bakal diwujudkan ini tidak dapat menyelesaikan penularan berita palsu sebaliknya bertindak sebagai penyekat teguran, suara yang didakwanya merupakan hak individu khususnya melibatkan kerajaan.
“Cuma soal saya ialah apakah wajah baik dan buruk ini boleh diselesaikan dengan satu lagi undang-undang yang pada hakikatnya konon boleh menyekat berita tidak benar tetapi hakikatnya ialah satu undang-undang yang menyekat pandangan untuk menegur dan memberikan pandangan dan pendapat terhadap kepentingan mereka terhadap sebuah kerajaan,” kata Mujahid lagi. -MalaysiaGazette