KUALA LUMPUR – Selepas berdegil enggan menarik balik kenyataan kontroversi menyentuh isu ketuhanan, Ahli Parlimen PAN (Parti Amanah Negara) Sepang Hanipa Maidin akhirnya menerima nasihat supaya bertaubat.
Hanipa sebelum ini mempertahankan kenyataannya “kalau saya tuhan” di Dewan Rakyat, namun Penasihat Umum PAN Ahmad Awang dalam satu kenyataan menyifatkan tindakan Hanipa itu tidak sepatutnya dilafazkan dan perlu bertaubat.
“Namun kami tidak sempat berbicara. InsyaAllah saya tiada masalah untuk akur dengan saranannya jika ia mampu meredakan keresahan pihak tertentu,” Hanipa dipetik berkata hari ini.
Terdahulu, Ahmad menasihati supaya Hanipa memohon keampunan dan bertaubat susulan kenyataannya semasa pertelingkahan dengan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Datuk Seri Abdul Azeez Rahim dan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali.
Jelas Ahmad, setelah meneliti rakaman video dan hansard Parlimen berhubung perkara itu, kedua-dua Azeez dan Hanipa terlibat melafazkan perkataan mengumpamakan makhluk dengan tuhan.
“Oleh yang demikian, sebagai sahabat dan saudara dalam Islam, saya dengan ikhlas menasihati kedua-dua anggota parlimen berkenaan supaya bersegera memohon keampunan kepada Allah dan berinabah (bertaubat) kepadaNya,” katanya.
Dalam pertelingkahan di Parlimen itu, Azeez menegur Hanipa yang menurutnya berlagak seperti tuhan kerana mengatakan Pakatan Harapan akan menang pada dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14.
Hanipa membalasnya dengan berkata: “Kalau saya tuhan – nasib baik saya bukan tuhan – kalau saya tuhan dari awal saya tak jadikan kamu, menyusahkan orang saja, tapi sebab saya tak (bukan) tuhan.”
Ungkapan itu mengundang kritikan pelbagai pihak, termasuk pemimpin PAS dan juga Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin. – MalaysiaGazette