Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Joseph Kurup (tengah) menyempurnakan acara 'flag off' sempena Program Kembara PERPADUAN Media 2018 anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di Kompleks E,, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 03 APRIL 2018

PUTRAJAYA – Parti-parti politik terutamanya calon-calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) diingatkan agar mengelak daripada amalan idealogi politik keterlaluan sehingga menyentuh sensitiviti agama dan bangsa ketika berkempen.

Perkara itu ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup yang memberitahu, semasa di ambang PRU semua parti politik perlu berkempen secara sihat tanpa mempergunakan isu perkauman.

Ini kerana katanya, perbuatan seperti itu hanya akan mencetuskan ketegangan kaum dan menjejaskan hubungan baik masyarakat berbilang agama dan bangsa di negara ini.

“Selaku menteri bertanggungjawab dengan perpaduan saya minta semua parti politik elakkan sentuh isu agama dan bangsa kerana ia amat sensitif sekali.

“Kedua-duanya berkait rapat dalam membina perpaduan negara, untuk membinanya kita ambil masa bertahun-tahun tapi bila kamu bangkitkan isu perpaduan sekelip mata perpaduan kita boleh rosak,” katanya.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Taman Kajang Utama, Ibrahim Martibi menerangkan kepada sebahagian pengamal Media mengenai teknik penanaman sayur yang betul pada Program Kembara PERPADUAN Media 2018 anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di di Tabika Perpaduan Taman Kajang Utama, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 03 APRIL 2018

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melepaskan peserta acara flag off Program Kembara Perpaduan Media 2018 di sini hari ini.

Peserta-peserta yang terdiri daripada pengamal media daripada pelbagai agensi kemudian dibawa ke Tabika Perpaduan di Taman Kajang Utama, Kajang.

Peserta kemudiannya diberi penerangan berkaitan Perpaduan dan beberapa aktiviti seperti penanaman pokok dan melukis mural.

Program anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional itu diadakan bagi memberi pendedahan serta ruang kepada pengamal-pengamal media untuk mendapatkan informasi secara terus.

Maklumat-maklumat itu perlu didedahkan atau disiarkan oleh media supaya masyarakat umum mengetahui akan kepentingan hidup bersatu padu di dalam sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum. – MalaysiaGazette