Razali (kanan) bersama Syed Rosli selepas menghantar memorandum kepada Ibupejabat UMNO mengenai seorang ketua bahagian yang didakwa terlibat kes dadah di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Sekumpulan yang mendakwa gabungan akar umbi UMNO menggesa agar parti itu memecat seorang ketua bahagian parti yang ditahan kerana terlibat dalam dadah semalam.

Ketua Cawangan UMNO Tasik Jaya Bandar, Mejar (B) Razali Zakaria berkata, tindakan tegas harus diambil demi menjaga maruah parti Melayu itu.

“Atas kesedaran sebagai ahli UMNO yang prihatin kami mengambil ketetapan mendesak UMNO Malaysia menyiasat dengan terperinci serta mengambil tindakan tegas memecat ketua bahagian UMNO terbabit,” katanya.

Selain itu beliau berkata, UMNO juga perlu memecat sebarang jawatan yang disandang ketua bahagian terbabit dalam kerajaan atau mana-mana syarikat berkaitan kerajaan.

Razali berkata demikian selepas menyerahkan memorandum di Bangunan Menara Dato’ Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur bagi menggesa tindakan diambil terhadap ketua bahagian terbabit.

Beliau ditemani oleh Ketua Penerangan UMNO Cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka, Syed Rosli Syed Harman.

Polis semalam mengesahkan seorang ketua bahagian UMNO di Kuala Lumpur ditahan dalam satu serbuan ke atas sebuah pusat hiburan di Jalan Imbi di ibu negara.

Lelaki terbabit ditahan kerana didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Shaharudin Abdullah berkata, dalam serbuan itu, pemimpin itu bersama sekumpulan rakannya turut ditahan atas kesalahan sama. – MalaysiaGazette

Ketua Bahagian UMNO ditahan positif dadah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast