KUALA LUMPUR – Seorang Ketua Bahagian UMNO di Kuala Lumpur ditahan polis dalam satu serbuan ke atas sebuah pusat hiburan di Jalan Imbi di ibu negara, awal pagi tadi.

Pemimpin politik yang namanya sebut-sebut bakal menjadi calon Pilihan Raya Umum ke-14 didapati positif amphetamine dan methamphetamine.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Shaharudin Abdullah berkata, dalam serbuan itu, pemimpin itu bersama sekumpulan rakannya turut ditahan atas kesalahan yang sama.

“Beliau ditahan dalam bilik sekitar sepuluh orang dan kesemua mereka positif (amphetamine dan methamphetamine).

“Kita ambil ujian, hasilnya positif dan kita tahan,” katanya sambil mengesahkan semua ujian air kencing dihantar ke makmal kimia untuk dianalisis bagi tindakan selanjutnya.

Serbuan itu dijalankan pukul 2 pagi oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Kontinjen Kuala Lumpur susulan maklumat mengenai aktiviti hiburan tanpa lesen.

Pemimpin politik yang turut menganggotai beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) itu didapati positif dadah itu kemudian diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk tindakan lanjut.

Shaharudin berkata, ketua bahagian itu telah pun diikat jamin pukul 4 petang tadi.

Shaharudin berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette