KUALA LUMPUR – Aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng yang terkenal teksi 10 sen dan rumah sewa RM1 kini tampil lagi dengan insiatif unik bagi membantu golongan yang tidak berkemampuan.
Chee Heng menerusi gambar yang dimuatnaik semalam menawarkan pula perkhidmatan van jenazah RM1.
“Perkhidmatan van jenazah bagi mereka yang betul-betul susah. RM1 sahaja. Tolong share agar perkara ini sampai kepada golongan yang tidak berkemampuan,” tulisnya.
Menurutnya, niatnya hanya mahu membantu meringankan bebanan golongan tidak berkemampuan yang kehilangan orang tersayang.
“Kalaulah ada orang susah meninggal dunia, jangan susah hati. Call kami dan kalau ada kelapangan, kami pasti akan bantu. Tak payah susah-susah nak bayar.
“Kerja paling baik ialah menolong menguruskan jenazah. Call 012-273 2148,” katanya.
Bagaimanapun, jika perkhidmatan mereka diperlukan sehingga ke luar kawasan, Chee Heng hanya meminta pihak waris menyediakan makanan untuk krunya.
Terkini gambar yang dimuatnaiknya di Facebook kini dikongsikan 54,221 pengguna dan menerima ‘Like’ lebih 50,000. -MalaysiaGazete