KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali berkata negara akan hancur sekiranya politik bersandarkan fitnah dan pembohongan daripada gabungan Pakatan Harapan (PH).
Ahli Parlimen Pas-Kuala Nerus itu berkata, Pas tidak pelik dengan langkah PH yang menolak Akta Anti Berita Tidak Benar apabila dibawa ke Dewan Rakyat.
“Adakah pemimpin PH sememangnya dilatih untuk “makan daging manusia lain yang sudah mati” sebagaimana ibarat al-Quran?
“Adakah mereka rasa boleh terus hidup berpolitik dengan mencipta fitnah dan pembohongan terhadap Pas?,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khairuddin dipercayai memberi respon mengenai dakwaan Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Mahfuz Omar yang mendedahkan terdapat tiga orang pemimpin Pas Terengganu menerima wang sebanyak RM1 juta daripada pemimpin UMNO tertentu.
Mengulas lanjut, Khairuddin berkata, rakyat boleh menilai sendiri dengan fitnah dan pembohongan yang dibawa gabungan itu lebih-lebih lagi di musim Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14).
“Kalau dulu BN menjadi juara fitnah setiap kali pilihanraya, tetapi nampaknya mereka pula mewarisi perangai buruk tersebut.
“Barangkali perangai buruk itu mereka belajar dari bekas veteren pemimpin BN yang kini dijulang oleh mereka,” katanya. – MalaysiaGazette