Tun Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan pemilihan tarikh pembuangan undi sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei iaitu hari bekerja adalah amalan tidak demokratik.

Beliau menjelaskan, tarikh tersebut akan menyukarkan pengundi yang bekerja untuk keluar mengundi menunaikan hak mereka.

Pada masa sama, tegasnya, pengundi yang ingin pulang mengundi di kampung atau pengundi yang bekerja di negara jiran akan turut berdepan masalah.

“Biasanya hari pembuangan undi pada hari cuti kerana yang layak boleh terlibat kerana mereka ada hak.

“Bagi orang kampung, mereka tiada masalah dan boleh keluar mengundi. Bagi pengundi yang bekerja, mereka akan berdepan masalah.

“Juga mereka yang bekerja di luar negara di mana terdapat 500,000 pengundi yang bekerja di Singapura. Jadi mereka ini akan berasa tertekan untuk mengundi nanti.

“Ini adalah amalan tidak demokrasi dan menghalang hak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media PH yang disiarkan secara langsung di laman rasmi Facebook miliknya di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas pengumuman Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah hari ini menetapkan 9 Mei depan, iaitu Rabu, sebagai hari pembuangan undi.

SPR turut menetapkan 28 April sebagai hari penamaan calon diikuti kempen selama 11 hari dan hari pengundian awal pada 5 Mei.

Untuk rekod, tarikh pembuangan undi pada zaman Mahathir pernah ditetapkan pada hari bekerja iaitu Khamis (1982) dan Isnin (1995 dan 1999),

Pada zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi pula, tarikh pembuangan undi dibuat pada Ahad (2004) dan dua PRU lalu di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada hujung minggu iaitu Sabtu (2008) dan Ahad (2013).

Sementara itu, Mahathir terus mempersoalkan tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengeluarkan perintah pembubaran sementara terhadap Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kerana pada zaman beliau tidak ada masalah untuk mendaftarkan parti baharu.

Malah jelas Pengerusi PPBM itu, dua parti iaitu Semangat 46 dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) boleh bertanding dalam PRU menentang Barisan Nasional ketika itu. – MalaysiaGazette