ALGIERS – Seramai 257 orang terbunuh apabila sebuah pesawat yang membawa tentera dan ahli keluarga mereka terhempas di sebuah ladang sebaik sahaja ia berlepas di utara Algeria.

Insiden itu disifatkan sebagai kemalangan udara terburuk negara tersebut.

Kementerian Pertahanan Algeria berkata, mangsa terdiri daripada 247 penumpang dan 10 anak kapal, lapor cbc.

Punca kejadian tidak jelas dan siasatan telah dibuka, kata kementerian itu.

Kebanyakan mangsa adalah anggota tentera dan ahli keluarga mereka, kata kementerian itu, dan mayat mangsa telah dihantar ke hospital pusat tentera Algeria di bandar Ain Naadja untuk dikenalpasti.

Laporan media menyebut pesawat teersebut terhempas sebaik sahaja berlepas.

Perkhidmatan bantuan kecemasan dilihat berada di pengkalan tentera Boufarik selepas kejadian. Rakaman video menunjukkan asap hitam berkepul-kepul naik ke udara dan ambulan serta kenderaan Bulan Sabit berada di lokasi kemalangan.

Ia merupakan kemalangan udara pertama Algeria sejak Februari 2014 apabila sebuah pesawat C-130, Hercules, buatan Amerika Syarikat terhempas di gunung mengakibatkan 76 orang maut dan hanya seorang terselamat.

Pesawat malangan itu dijadualkan singgah di Tindouf di selatan Algeria yang dibanjiri pelarian dari Sahara Barat.

Pesawat Ilyushin, IL-76, buatan Soviet itu terhempas di zon pertanian yang tidak dihuni, kata ketua jurucakap untuk perkhidmatan perlindungan awam, Farouk Achour.

Tentera Algeria mengendalikan beberapa buah pesawat jenis itu. – Agensi