Home Nasional Tidak perlu layan fitnah untuk tekan PM, Hishamuddin

Tidak perlu layan fitnah untuk tekan PM, Hishamuddin

Hishammuddin Hussein bercakap kepada media pada Majlis Perasmian Satu Anggota Satu Rumah (SASar) SATRIA Residensi Kem Transmitter, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 11 APRIL 2018

KUALA LUMPUR – Dakwaan yang dinyatakan oleh Tan Sri Rafidah Aziz disifatkan sebagai strategi untuk menekan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata, tohmahan-tohmahan yang dinyatakannya baru-baru ini tidak perlu dilayan kerana dakwaan yang tidak berasas.

Lagipun, apa juga penjelasan yang akan diberikan pasti tidak akan memuaskan hati Rafidah.

“Saya nasihatkan semua pihak yang berkepentingan jangan jawab isu-isu yang dibangkitkan kerana apa yang kita jawab tidak pernah akan memenuhi kehendak dan permintaan mereka. Malah kehendak mereka akan berubah-ubah.

“Tuduhan yang dinyatakan tidak ada asas dan kadangkalanya fitnah bulat-bulat. Saya harap pihak-pihak lain akan jawab secara fakta. Saya tidak akan layan politik dan strategi begitu rupa,” katanya ketika sidang media.

Beliau mengulas demikian tentang permintaan Rafidah untuk mendapatkan minit mesyuarat Kabinet mengenai tindakan Najib menswastaan tanah 40,000 hektar  kepada sebuah syarikat yang dimiliki oleh tiga individu.

Setelah Kementerian Pertahanan menjawab menerusi kenyataan media semalam, Rafidah kemudian berkata, soalan itu adalah untuk perdana menteri.

Hishamuddin mendakwa isu ini dibangkitkan dengan niat untuk mencari publisiti memburukkan kerajaan.

“Saya tahu mereka mahu isu ini diteruskan sehingga tarikh pembuangan undi,” ujarnya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast