JOHOR BAHRU – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) semakin selesa sebagai pendahulu Liga Super selepas menewaskan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) FC 3-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin di sini malam tadi.
Harimau Selatan yang dibimbing oleh Raul Longi itu dilihat bangkit daripada kekalahan 4-0 di tangan Persija Jakarta pada aksi Piala AFC, Selasa lalu selepas membenam anak didik Datuk K. Rajagobal di laman sendiri.
Penyerang import JDT, Gonzalo Cabrera muncul wira buat skuad Harimau Selatan menerusi jaringan pertamanya pada minit ke-14 sebelum mudah menyempurnakan tendangan percuma pada minit ke-50 sekali gus menggandakan jaringan 2-0.
Gol ketiga JDT pada minit ke-66 ternyata menambah duka buat pasukan pelawat selepas Muhammad Safawi Rasid bijak melencongkan bola dari luar kotak penalti tepat ke penjuru kanan gawang sekali gus menewaskan penjaga gol PKNS FC, Mohd. Shahril Sa’ari.
JDT kini di puncak carta Liga Super bersama 15 mata diikuti Terengganu Football Club 1 (TFC1) dengan 11 mata.- MalaysiaGazette